FUZHOU, 23 Nov – Wilayah Fujian yang terletak di tenggara China menawarkan peluang kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya perdagangan, perindustrian, pendidikan dan pelancongan.

Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Wilayah Fujian, Huang Shaorong berkata Fujian mempamerkan pembangunan ekonomi berkualiti tinggi dengan perkembangan infrastruktur yang pesat dengan tumpuan industri seperti pembuatan, tekstil, makanan dan ekonomi digital.

“Fujian mempunyai hubungan rapat dengan negara-negara Asia seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina menerusi perdagangan dan bandar berkembar. Malah setiap tahun para pegawai dari Fujian akan mengunjungi negara-negara di rantau itu bagi menjalin dan mengembangkan lagi hubungan kerjasama,” katanya kepada pengamal media Asia di Fuzhou, Fujian, baru-baru ini.

Huang berkata sebagai wilayah yang mempunyai tempat permulaan Laluan Sutera Maritim di Quanzhou, Fujian juga terkenal dengan jolokan ‘Tanah Bertuah’ kerana mempunyai tapak warisan dunia dan bersejarah, serta alam semula jadi yang unik.

Justeru, beliau berharap dapat mempromosikan Fujian sebagai destinasi pelancongan pilihan seterusnya di China.

“Selain Gunung Wuyi yang mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia kerana kepelbagaian biodiversitinya, ia juga terkenal sebagai lokasi penghasilan teh, malah Fujian ialah pengeluar teh terbesar di China,” katanya.

Seramai sembilan pengamal media antaranya dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Pakistan dan Korea Selatan di undang mengikuti program lawatan media ke Fujian dan Zhejiang, anjuran Jabatan Hal Ehwal Asia, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, China.

Dalam lawatan itu, para peserta dibawa mengunjungi kawasan bersejarah dan terkenal di dua daerah di Fujian seperti Kuliang Tourist Resort, Three Lanes and Seven Alleys, dan Fushan Suburban Park di Fuzhou serta Muzium Maritim Quanzhou dan Masjid Qingjing di Quanzhou, antara sebuah masjid tertua di China.

Selain itu, delegasi media turut diberi penerangan mengenai pembangunan semula penempatan komuniti Cangxia, kemajuan operasi Fujian Provincial Port Group Co. Ltd. dan Yuanhong Investment Zone di mana terletaknya projek Taman Berkembar China-Indonesia, selain perkembangan syarikat pengeluar produk sukan terkemuka China, Anta Group.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here