HANGZHOU, 24 Nov – Pelbagai teknologi dan produk digital terbaharu diketengahkan pada Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) kedua yang berlangsung selama lima hari bermula semalam di Hangzhou, wilayah Zhejiang, China.

Acara yang diadakan di Pusat Ekspo Antarabangsa Hangzhou itu menarik penyertaan 68 organisasi antarabangsa dan persatuan perniagaan serta lebih 800 perusahaan dengan tumpuan terhadap kerjasama perdagangan digital global.

Ekspo itu turut memfokuskan kepada peraturan, pengurusan dan piawaian terhadap perdagangan digital selain penganjuran forum, program padanan perniagaan dan seminar khusus.

Turut hadir pada acara perasmian ialah Naib Presiden China Han Zheng, Menteri Pembangunan Perniagaan Kecil Afrika Selatan Stella Ndabeni-Abrahams dan Presiden Bank Pembangunan Baharu Dilma Rousseff.

Han dalam ucaptamanya berkata perdagangan digital dan e-dagang telah menjadi tonggak penting kepada pertumbuhan eksport China dan negara itu menyifatkan sektor tersebut sama pentingnya dengan perdagangan kargo dan perkhidmatan tradisional.

Dengan keluasan ruang pameran 100,000 meter persegi, ekspo kali kedua itu menyediakan sebuah pavilion yang komprehensif, dua pavilion khas dan empat pavilion industri digital.

Bertemakan ‘Perdagangan Digital, Akses Global’, ekspo berkenaan yang berlangsung sehingga 27 Nov, dianjurkan bersama oleh kerajaan wilayah Zhejiang dan Kementerian Perdagangan China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here