SIMUNJAN, 26 Nov – Cadangan bagi memperluaskan projek Model Ladang Hutan di Hutan Simpan Sabal, di sini akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata pihaknya menyokong penuh pembinaan projek itu untuk memperkasakan sektor ladang hutan dengan menyediakan pusat penyelidikan perhutanan serta kemudahan infrastruktur berkaitan. 

“Saya sokong untuk dikemukakan kepada peringkat Persekutuan tetapi kita perlu tunggu RMK-13 sebab kini dah penghujung RMK-12. Saya akan berada di sana untuk menyokong atau dalam bahasa Bidayuh ‘sokong nog kobos’ (sokong sampai mati),” katanya ketika berucap pada program Trek Komoditi 2023 Zon Sarawak di Hutan Simpan Sabal, di sini, hari ini. 

Projek itu bakal mengembangkan fungsi dan skop Model Ladang Hutan yang sedia ada di kawasan itu yang merangkumi aspek penubuhan dan pembangunan pusat penyelidikan, tapak kajian penanaman, penambahbaikan infrastruktur yang sedia ada serta perolehan fasiliti keperluan operasi tapak semaian.

Dalam pada itu, Fadillah berkata pemain industri perabot di Semenanjung berminat untuk memperluas perniagaan mereka di Sarawak berikutan negeri ini mempunyai bekalan bahan mentah yang mencukupi serta giat menjalankan aktiviti penanaman semula hutan. 

“Di Semenanjung ada krisis untuk mendapatkan bahan mentah sebab itu penanaman semula hutan perlu dilaksanakan dan pihak industri perabot di sana melihat Sarawak sebagai tempat mereka boleh mendapat bahan mentah.

“Sebab itu mereka bersedia untuk pindahkan semua kilang ke Sarawak, jadi ini kawasan kita kena melihat bukan sahaja (pemain industri) daripada Semenanjung, malah antarabangsa,” katanya.

Sehingga kini, kerajaan Sarawak berjaya menanam hampir 30 juta pokok merangkumi penanaman oleh industri ladang hutan. 

Terdahulu, Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad dalam ucapannya memohon peruntukan kementerian bagi pembinaan projek itu yang turut memberi kemudahan untuk menjalankan program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA), latihan, galeri dan stesen kawalan kebakaran hutan.

“Saya optimis bahawa dengan sokongan pihak kementerian, projek-projek ini tidak hanya akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kelestarian sektor hutan tetapi juga akan menggalakkan pengurusan penanaman yang efektif,” tambahnya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here