PUTRAJAYA, 26 Nov – Bekas anggota Unit Tindakan Khas Sirul Azhar Umar belum mengemukakan permohonan semakan sabitan hukuman di mahkamah berkaitan hukuman mati ke atasnya bagi kesalahan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, setakat hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan perkara itu berkata hanya Azilah Hadri yang sudah mengemukakan permohonan semakan sabitan hukuman terhadapnya di mahkamah berhubung kes itu.

“Belum ada maklumat apa-apa daripada Sirul sebab baru dibebaskan dalam tempoh seminggu ini. Kita belum lagi menerima maklum balas sama ada peguamnya telah mengemukakan permohonan semakan hukuman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Saifuddin Nasution turut memaklumkan Azilah merupakan antara 900 kumpulan pertama yang memohon semakan berkaitan dengan hukuman selaras dengan perkembangan di Malaysia yang memansuhkan hukuman mati secara mandatori tahun ini.

Mengenai cadangan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Kerajaan Malaysia melakukan libat urus dengan pihak berkuasa Australia untuk memudah cara penyerahan balik Sirul Azhar ke Malaysia bagi memastikan satu siasatan komprehensif ke atas dakwaannya, Saifuddin Nasution berkata kerajaan menganggap ia sebagai cadangan sehingga Sirul Azhar melakukan permohonan mahkamah kerana keputusan terserah pada bekas anggota Unit Tindakan Khas itu.

Katanya beliau juga mengambil maklum mengenai kenyataan terkini Sirul Azhar yang mendakwa menerima RM1 juta dalam kes pembunuhan itu.

“Hanya Sirul Azhar yang tahu. Berdasarkan kepada butiran perbicaraan, hal itu tidak dikemukakan ketika perbicaraan tempoh hari. Ia kekal sebagai satu kenyataan daripada Sirul Azhar dan hanya dia boleh menjawab kenapa sekarang dibangkitkan, apakah tujuan sebenar,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Sirul Azhar telah dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia, pada 11 Nov lepas.

Sirul Azhar yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya pada 2006, dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak Imigresen negara itu, sejak 2015.

Pembebasan Sirul Azhar susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 Nov, yang memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.

Sementara itu merujuk kepada rampasan lapan naskhah buku disyaki mengandungi unsur komunisme di sebuah premis di Petaling Jaya baru-baru ini, Saifuddin Nasution berkata tindakan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu merupakan proses biasa yang dibenarkan susuan aduan awam.

“Apabila ada aduan daripada orang awam, sudah tentu Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN akan gunakan klausa dari akta berkenaan untuk melawat premis yang diadu, kemudian ambil beberapa bahan atau buku yang terlibat.

“Mereka ada panel yang akan meneliti dan pada akhir penelitian, jika isi kandungan itu tidak memaparkan elemen yang dimaksudkan, mereka akan pulangkanlah, itu proses biasa seperti mana yang dibenarkan, (iaitu) bertindak di atas aduan awam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here