SEREMBAN, 26 Nov – Kementerian Pertahanan akan meneliti keperluan untuk menambah anggota atau kelengkapan keselamatan bagi memperketat kawalan di kawasan sempadan sekali gus mengekang sindiket penyeludupan rentas negara.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata menerusi Belanjawan 2024, kerajaan turut menyalurkan peruntukan besar bagi memperkasakan kawalan sempadan.

“Kita tengok keadaan macam mana sama ada kita memerlukan kamera litar tertutup (CCTV), penambahan anggota atau buat pagar elektrik (di sempadan). Ini kita kena kerjasama dengan pihak Thailand dan Indonesia.

“Supaya tempat sempadan ada pos kawalan gabungan bersama, kita mesti sama-sama kawal sempadan, ada juga kawasan berjauhan, pos kita dengan pos mereka, ini perlu kita lihat bagaimana cara untuk lihat keberkesanan kawal sempadan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan dan Jualan Agro MADANI di Taman Bandar Senawang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai cadangan kerajaan Thailand untuk membina pagar elektrik dilengkapi CCTV di kawasan bersempadanan Malaysia bagi mengekang penyeludupan.

Mohamad berkata ia merupakan langkah terbaik bagi memastikan jenayah rentas sempadan terutama penyeludupan yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada Malaysia dapat dikurangkan.

“Contohnya seludup minyak masak, kita ada subsidi jadi ia murah, negara luar mahal dan mereka menyeludup barang tersebut dan pelbagai lagi. Pihak Thailand ada nak sekat barangannya masuk Malaysia, kita juga nak sekat barang diseludup keluar,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata pihaknya kini dalam proses perolehan untuk mengguna pakai dron serta aset keselamatan lain bagi mengawal sempadan negara dengan lebih efektif.

“Paling penting adalah menaik taraf pos-pos kawalan di kawasan sempadan di sepanjang Malaysia-Thailand dan Malaysia-Indonesia di Kalimantan dan ini sedang dilakukan secara berperingkat sekali gus mengurangkan kerugian dialami negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here