KUALA LUMPUR, 28 Nov – Malaysia perlu mengambil perhatian terhadap rantaian bekalan Korea Selatan yang berdaya tahan dan mencari jalan untuk bekerjasama dan membangunkan integrasi vertikal sendiri bersama-sama negara itu.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata ini kerana rantaian bekalan yang berdaya tahan adalah faktor terpenting bagi industri dan negara.

“Saya diberitahu bahawa Korea Selatan memetakan rantaian bekalan hampir 200 item dengan cara yang paling teliti (untuk memastikan keselamatan rangkaian bekalan),” katanya semasa ucapan penutupan di Sidang Kemuncak Perniagaan Dasar Pandang ke Timur Malaysia-Korea hari ini.

“Dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia mahu melaksanakan semula pengindustrian dan dalam konteks ini, Korea Selatan adalah contoh terbaik,” kata Liew.

Beliau juga percaya bahawa perniagaan di kedua-dua negara, bukan hanya kerajaan dan ahli akademik, perlu memberikan lebih banyak usaha dan sumber untuk menggalakkan persefahaman bersama yang lebih mendalam antara Malaysia dan Korea Selatan.

“Hubungan antara kedua-dua negara akan mendapat faedah yang lebih besar jika kita secara kolektif membimbing generasi muda untuk meluangkan masa di negara masing-masing untuk belajar dan menghargai masyarakat di negara-negara ini,” katanya.

Beliau berkata Dasar Pandang ke Timur ialah inovasi dasar luar Malaysia yang sangat kreatif.

“Memandangkan Korea Selatan dan Jepun kini berada dalam hubungan yang akrab, sudah tiba masanya bagi kerajaan Korea Selatan, Jepun dan Malaysia menggunakan platform Dasar Pandang Ke Timur untuk mewujudkan kerjasama tiga hala antara ketiga-tiga negara.

“Ini penting untuk meneruskan legasi Dasar Pandang ke Timur dalam dunia yang berubah-ubah ini,” tambahnya.

Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung Bae berkata kira-kira 420 syarikat Korea beroperasi di Malaysia setakat ini, termasuk peneraju industri seperti Samsung, Lotte dan Hanhwa, yang telah menyumbang dengan ketara kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

“Adalah penting bagi negara kita berkomunikasi dan bekerjasama dengan lebih erat untuk membuahkan hasil baharu Dasar Pandang Ke Timur,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here