KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ringgit dijangka akan mengukuh pada 2024 yang dipacu oleh beberapa faktor, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata faktor itu termasuklah disiplin fiskal kerajaan dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih baik serta ketidaktentuan dasar mata wang Amerika Syarikat (AS) yang semakin mereda.

Katanya prestasi ringgit perlu dilihat dalam perspektif yang lebih meluas dan ia wajar diukur berbanding mata wang lain dan bukannya berbanding dolar AS semata-mata.  

“Malah, inilah caranya bank-bank pusat di seluruh dunia mengukur nilai mata wang mereka iaitu perbandingan dengan sekumpulan mata wang utama lain yang berdagang dengan negara itu.

“Majoriti mata wang di dunia menyusut berbanding dolar AS akibat daripada tindakan agresif Rizab Persekutuan AS (Fed) yang menaikkan kadar faedah,” katanya dalam hantaran media sosial di platform ‘X’ hari ini. 

Rafizi berkata nilai mata wang perlu dibaca dengan petunjuk ekonomi lain iaitu pertumbuhan ekonomi, kadar inflasi, jumlah pelaburan baharu, kadar faedah, kadar pengangguran, tangga gaji dan lain-lain.

Katanya ekonomi Malaysia tumbuh pada momentum yang baik dari suku ke suku selama tiga suku berturut-turut dengan kadar inflasi adalah terendah sejak 2021. 

Bagi prestasi ringgit pada suku ketiga 2023, ringgit menyusut sebanyak 0.6 peratus berbanding dolar AS dan menurun 0.2 peratus berbanding dolar Singapura. 

Bagaimanapun, prestasi ringgit mengukuh sebanyak 2.9 peratus berbanding yen Jepun, lebih baik sebanyak 2.4 peratus berbanding baht Thailand dan pound Britain, rupiah Indonesia (2.0 peratus), won Korea Selatan (1.7 peratus), euro (1.6 peratus), dolar Australia (14 peratus) dan renmimbi China (0.2 peratus).  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here