KUALA LUMPUR, 30 Nov – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan melaksanakan sesi libat urus secara berterusan dengan pelbagai pihak dalam mendapatkan maklum balas industri bagi memastikan pelaksanaan e-Invois mengambil kira setiap keperluan.

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berkata LHDN juga telah menyediakan garis panduan umum dan garis panduan spesifik yang perlu diteliti oleh perniagaan dalam membantu mereka membuat perubahan atau menaik taraf yang melibatkan sumber manusia, proses perniagaan dan sistem secara keseluruhan.

“Jika memerlukan penerangan lanjut dalam memastikan pelaksanaan mengikut garis masa yang ditetapkan, pembayar cukai boleh menghubungi LHDN bagi khidmat nasihat dan bantuan,” katanya di Dewan Negara. 

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang ingin mengetahui sama ada LHDN akan menubuhkan satu pusat sehenti untuk menangani pelbagai masalah teknikal yang akan timbul semasa peralihan kepada sistem e-Invois serta insentif yang disediakan kerajaan untuk memudahkan peralihan kepada sistem e-Invois.

Menurut Sim, bagi membantu pembayar cukai menangani sebarang isu teknikal semasa tempoh peralihan, LHDN telah menyediakan beberapa platform kepada pembayar cukai untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan berkenaan sistem yang dibangunkan serta bagaimana menangani masalah teknikal yang berlaku dalam tempoh pelaksanaan e-Invois.

Platform yang disediakan meliputi microsite e-Invois HASIL; kaedah e-mel kepada helpdesk di alamat MyInvois@hasil.gov.my; menyediakan persekitaran pengujian bagi pembayar cukai yang menggunakan mekanisme Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API); dan menjalankan program perintis bersama pemegang kepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan yang melibatkan syarikat yang terdiri daripada pelbagai industri.

Mengenai insentif bagi memudahkan peralihan kepada sistem e-Invois, beliau berkata berdasarkan pengumuman Belanjawan 2024, kerajaan menyediakan pelbagai insentif yang boleh dimanfaatkan oleh pembayar cukai bagi tujuan pendigitalan dan pelaksanaan e-Invois. 

“Bagi memperhebat usaha mendorong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) meningkatkan tahap daya saing melalui peralihan model perniagaan secara automasi dan pendigitalan, kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi menyediakan geran pendigitalan sehingga RM5,000 untuk dimanfaatkan usahawan PMKS.

“Geran ini boleh digunakan untuk menaik taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital,” jelasnya.

Selain itu, Sim berkata kerajaan juga akan mempercepatkan tempoh tuntutan elaun modal ke atas pembelian dan pemasangan peralatan teknologi komunikasi maklumat (ICT) serta pakej perisian komputer dan fi perundingan, bayaran pemerolehan lesen serta bayaran sampingan berkaitan pembangunan perisian komputer secara khusus daripada empat tahun kepada tiga tahun mulai tahun taksiran 2024. 

“Potongan cukai bagi perbelanjaan berkaitan pemeliharaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terhad sehingga RM50,000 setiap tahun taksiran diberikan ke atas perbelanjaan kos perunding dibuat oleh syarikat PMKS bagi melaksanakan e-Invois berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2024 hingga tahun taksiran 2027,” tambahnya. 

Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan akan menguatkuasakan e-Invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos 2024, manakala pembayar cukai mengikut kategori pendapatan selainnya akan dibuat secara berfasa dengan pelaksanaan menyeluruh mulai 1 Julai 2025.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here