BEIJING, 1 Dis – Presiden China Xi Jinping menuntut pelbagai pihak berkaitan untuk melakar kemajuan baharu dalam pembangunan bersepadu di kawasan Delta Sungai Yangtze yang boleh dijadikan teladan dalam usaha memperjuangkan modenisasi ala China.

Demikian kata Xi semasa mempengerusikan simposium mengenai memacu pembangunan bersepadu Delta Sungai Yangtze di sini pada Khamis.

Pada simposium itu, Xi telah mengemukakan beberapa langkah bagi memacu pembangunan bersepadu di kawasan berkenaan antaranya mempergiat inovasi dalam bidang sains dan teknologi, menambah baik sistem dan mekanisme pembangunan bersepadu.

Langkah lain termasuk menggalakkan penyelarasan dalam peningkatan tahap keterbukaan, bersama meningkatkan perlindungan dan tadbir urus ekologi alam sekitar serta memastikan keselamatan pembangunan terjamin.

“Kawasan Delta Sungai Yangtze perlu terus meningkatkan tahap keterbukaan dari segi institusi, berkongsi pengalaman pembaharuan dan berusaha untuk menjadi enjin kuat yang boleh menjamin kelancaran dalam kitaran ekonomi domestik dan hab strategik yang berperanan menghubungkan kitaran pasaran domestik dengan kitaran pasaran domestik-antarabangsa.

“Pembinaan pusat ekonomi, kewangan, perdagangan, perkapalan serta inovasi sains dan teknologi antarabangsa perlu dipercepatkan di Shanghai, selain mempercepat langkah dalam memperhalus  pembaharuan komprehensif di Kawasan Baharu Pudong, serta meningkatkan tahap keterbukaan di bahagian Lingang di  Zon Perintis Perdagangan Bebas Shanghai melalui pelaksanaan projek pilot.

“Pembangunan bersepadu kawasan Delta Sungai Yangtze perlu diselaraskan dengan pembinaan berkualiti tinggi dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“Selain itu, hendaklah menggalakkan, menyokong dan membimbing pembangunan ekonomi swasta yang sihat dan berkualiti tinggi serta mengoptimumkan persekitaran pembangunan untuk perusahaan swasta,” kata Xi.

Untuk rekod, Delta Sungai Yangtze yang terletak di kawasan hilir Sungai Yangtze China melibatkan bandar metropolitan Shanghai, provinsi Jiangsu, Zhejiang dan Anhui.

Kawasan itu mempunyai pembangunan ekonomi yang paling aktif, tahap keterbukaan yang tertinggi dan keupayaan inovasi yang terkuat di China, menyumbang kira-kira satu perempat kepada agregat ekonomi domestik dan 39 peratus keseluruhan pelaburan langsung asing di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here