KUALA LUMPUR, 3 Dis – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menyediakan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik bersempena dengan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI minggu depan.

Program berkenaan dijadual berlangsung pada 8 hingga 10 Dis ini di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

NRECC menerusi catatan dalam Facebook hari ini memaklumkan antara yang disediakan bagi pengunjung di reruai kementerian itu ialah perkhidmatan mengenai Program Penghijauan Malaysia: Kempen penanaman 100 juta pokok, Kempen Selamatkan Harimau Malaya, aplikasi Sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains Malaysia (MyGEMS).

Pendaftaran e-bil Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan baja percuma, program pengurusan e-Waste serta perkhidmatan meteorologi dan ramalan cuaca turut disediakan.

Selain itu, kementerian akan mengadakan sesi pocket talk yang berlangsung pada 2.30 petang hingga 4 petang, 8 Dis ini di pentas kedua membabitkan tiga tajuk penting untuk rakyat.

Tajuk berkenaan ialah Jimat Tenaga “Anda Jimat, Poket Selamat”, peranan Kempen Amaran dan Ramalan Informasi Jabatan Pengairan dan Saliran (KARIB) dalam masyarakat untuk informasi ramalan banjir dan pentingnya penyelesaian pusaka demi kesejahteraan masyarakat MADANI.

Sementara itu, Facebook Malaysia MADANI turut berkongsi mengenai pelbagai kaunter perkhidmatan untuk rakyat dibuka bersempena dengan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI antaranya kaunter pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia dan kaunter perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Turut dibuka kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai RAHMAH (STR), kaunter pendaftaran Program Cuti-cuti Cikgu dan kaunter wang tidak dituntut (JANM).

Selain itu, pameran pelbagai aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga diadakan pada program tiga hari berkenaan.

Facebook Malaysia MADANI memaklumkan ATM akan membawa aset strategik dan kenderaan ringan, manakala APM menampilkan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Special Rescue Vehicle (SRV).

JBPM pula akan mempamerkan Water Rescue Vehicle, FRT, Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan bot penyelamat.

Bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), antara pengisian yang akan dibuat ialah aktiviti pembudayaan sains, teknologi dan inovasi di reruainya di khemah nombor satu, selain jualan produk Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY).

MOSTI menerusi perkongsian dalam Facebook rasminya memaklumkan turut diadakan ialah pencerapan matahari menggunakan teleskop, persembahan interaktif Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dron dan robot kancil serta pertunjukan Sains Bara Membara dan Ekplorasi Angkasa From Earth to Universe.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here