KUANTAN, 4 Dis – Sebanyak 215 tapak telah siap dibangunkan Digital Nasional Berhad (DNB) bagi pelaksanaan 5G di Pahang setakat 30 Sept lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Fadzli Mohamad Kamal berkata 146 tapak lagi sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat.

“Pihak pemberi perkhidmatan yang menyediakan akses 5G kepada pengguna di Pahang ketika ini ialah CelcomDigi, Maxis, UMobile, YTL (YES), Telekom Malaysia (TM) dan Yoodo,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (PH-Tras) mengenai jaminan kolaborasi yang telah diberi oleh DNB bagi memastikan teknologi 5G dapat memberi manfaat besar di negeri ini.

Daripada jumlah tapak itu, Fadzli berkata Kuantan mempunyai lokasi paling banyak iaitu 132 lokasi disusuli Bentong (21 lokasi), Pekan (19 lokasi), Temerloh (17 lokasi) dan Rompin (15 lokasi) manakala Cameron Highlands, Maran dan Raub setiap satu memiliki tiga lokasi serta masing-masing satu di Lipis dan Bera.

Selain itu, Fadzli juga memaklumkan setakat ini, terdapat 111 Pusat Digital Ekonomi Keluarga Malaysia (PEDi) di Pahang dengan pelbagai program latihan dan keusahawanan disediakan untuk membantu usahawan kecil memula dan mengembangkan perniagaan dengan memasarkan produk dalam talian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here