KUALA LUMPU, 5 Dis – Kajian berhubung tahap penerimaaan golongan belia terhadap pelaksanaan program Rakan Muda akan dimuktamadkan menjelang pertengahan tahun depan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan serta Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia itu telah bermula sejak September lepas dan mengambil masa selama lapan bulan sebelum dimuktamadkan.

“Kementerian sentiasa mengutamakan keberkesanan dan maklum balas daripada kumpulan sasar yang terlibat dengan program Rakan Muda sejak program ini dilancarkan semula oleh kerajaan.

“Menerusi kajian ini, kementerian dapat menilai tahap penerimaan golongan muda seterusnya meneliti ruang penambahbaikan untuk memperkasakan lagi pelaksanaan program ini pada masa akan datang,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab  pertanyaan Senator John Ambrose mengenai keberkesanan program Rakan Muda serta maklum balas peserta mengenai program tersebut.

Adam Adli berkata selain kajian itu, kementerian turut menjalankan tinjauan dan penilaian secara langsung melibatkan peserta hadir pada setiap aktiviti dilaksanakan dan sehingga kini, program Rakan Muda mendapat maklum balas positif dalam kalangan belia terlibat.

Sementara itu beliau berkata sehingga 1 Dis lepas, penyertaan golongan belia dalam program Rakan Muda adalah seramai 1,108,463 orang, melepasi sasaran sejuta belia yang ditetapkan untuk tahun ini membabitkan 4,119 aktiviti di seluruh negara.

Diberi nafas baharu sesuai gaya hidup terkini golongan belia, Program Rakan Muda telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Jun lepas meliputi Rakan Aktif, Rakan Demokrasi, Rakan Mahir, Rakan Prihatin dan juga Rakan Digital.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here