PUTRAJAYA, 5 Dis – Malaysia dan Timor-Leste mengalu-alukan penerbangan terus menghubungkan destinasi utama kedua-dua negara bagi melonjakkan sektor pelancongan dan menggalakkan pertukaran budaya.

Ketika ini tiada penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Dili.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan isu laluan udara dan program berkaitan pelancongan seperti pelancongan mesra Muslim antara topik yang dibincangkan Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing dan Naib Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay, semasa pertemuan di sini hari ini.

“Kita dapati ada persamaan budaya dan bahasa antara Malaysia dan Timor-Leste, justeru MOTAC serius untuk membangunkan dan menarik lebih ramai pelancong dari negara itu.

“Konsep mesra Muslim juga akan mendapat penerimaan meluas dalam infrastruktur, kemudahan, produk dan perkhidmatan pelancongan,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOTAC Malaysia juga berharap dapat membantu Timor-Leste dalam program pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal termasuk pengurusan warisan budaya.

“Malaysia, sebagai ahli Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara menawarkan bantuan bagi melindungi warisan budaya tidak ketara ini dan berharap dapat mengeratkan lagi kerjasama dengan Timor-Leste dalam bidang pelancongan dan budaya sekali gus menyumbang kepada kemakmuran serta perpaduan di rantau ASEAN,” menurut kenyataan itu. 

Kalbuadi Lay mengadakan lawatan kerja empat hari ke Malaysia bermula semalam. 

Lawatan beliau itu dijangka mengukuhkan dan meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara selain menunjukkan sokongan Malaysia bagi keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN.

Pada 2022, nilai perdagangan antara Malaysia dan Timor-Leste adalah RM384.48 juta, meningkat 93.3 peratus berbanding RM194.09 juta pada 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here