KUALA LUMPUR, 5 Dis – Syarikat telekomunikasi (telco) diharap dapat meneroka kemudahan Internet menerusi perkhidmatan satelit ke peranti supaya dapat diakses di mana-mana kawasan dengan mudah, khususnya di kawasan yang tidak mempunyai capaian Internet, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata berikutan 2.7 peratus kawasan masih memerlukan asas 4G di negara ini, pihaknya kini sedang meneliti perkara tersebut khususnya berkaitan teknologi satelit, yang diharap dapat diguna pakai menjelang 2025. 

“Ini bermaksud kawasan terpencil yang langsung tidak ada liputan. Kalau syarikat telco ada menyediakan perkhidmatan satelit ke peranti, maka kita akan ada Internet di mana-mana sahaja kita berada.

“Kita melihat beberapa teknologi yang disediakan melalui satelit yang membolehkan kita mendapat liputan terus daripada satelit. (Aspek) ini dalam penelitian KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital) dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).

“Ini akan mengambil masa dan insya-Allah akan menjadi fokus KKD ke hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program ‘Apa Khabar Malaysia’ terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Sementara itu, Fahmi berkata KKD dijangka mengumumkan entiti rangkaian kedua selain Digital Nasional Bhd (DNB) yang akan menyediakan perkhidmatan 5G di Malaysia setelah capaian 5G di negara ini mencatat 80 peratus. 

Beliau berkata dengan kewujudan rangkaian kedua itu, sebahagian daripada syarikat telekomunikasi akan berada di bawah DNB manakala sebahagian lagi akan bersama entiti kedua.

“Rangkaian kedua itu akan mewujudkan persaingan sihat antara syarikat telekomunikasi dalam merancakkan lagi usaha menaik taraf perkhidmatan mereka supaya boleh dimanfaatkan rakyat,” katanya.

Fahmi berkata setakat 31 Okt 2023, capaian 5G telah mencecah 73 peratus di seluruh Malaysia dan dijangka mencapai 80 peratus pada November.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here