KUALA LUMPUR, 6 Dis – Kerajaan mempunyai peranan penting dalam menggubal dasar yang jelas dan bersepadu bagi menarik serta mengekalkan pelabur di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan libat urus bersama industri juga perlu diterapkan agar dasar dan inisiatif yang diwujudkan selari dengan keperluan semasa serta masa akan datang.

Perkara tersebut antara yang dikongsikan beliau ketika kunjungan hormat Naib Presiden Dasar Global, Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) Mary Thornton dan delegasinya hari ini.

“Dalam pertemuan ini, ahli-ahli SIA mengambil kesempatan memaklumkan kepada saya mengenai perancangan industri serta cadangan-cadangan dalam memperkukuh tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing terutamanya pada peringkat rantaian yang bernilai tinggi.

Antara lain saya terangkan pendekatan penting kerajaan yang menggalakkan sektor swasta menerajui pusat-pusat kemahiran sebagai langkah mengatasi isu ketidaksepadanan tenaga kerja baharu dengan keperluan industri,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Selain itu, Anwar juga memaklumkan mereka sependapat bahawa ekosistem perusahaan kecil dan sederhana yang menyumbang kepada rantaian pengeluaran syarikat-syarikat utama dunia perlu sentiasa diberi penekanan dan sokongan.

SIA telah menjadi suara industri semikonduktor Amerika Syarikat selama lebih dari empat dekad selain ahli SIA mewakili lebih daripada 99 peratus industri semikonduktor Amerika Syarikat dari segi pendapatan dan hampir dua pertiga daripada firma cip bukan Amerika Syarikat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here