KUALA LUMPUR, 8 Dis – Penyelenggaraan baharu iaitu Mean Kilometres Between Failure (MKBF) dilaksanakan sebagai langkah pencegahan kerosakan teknikal perkhidmatan rel dan bas, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata MKBF merupakan satu petunjuk untuk menilai keberkesanan setiap pengangkutan awam khususnya untuk rel kerana laluan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering mengalami masalah teknikal. 

“Kita mesti bawa budaya penyelenggaraan baharu… sebelum ini kita menyelesaikan masalah apabila timbul masalah tetapi paradigma baharu kita adalah memastikan setiap kali ada masalah, kita lakukan langkah pencegahan iaitu satu budaya penyelenggaraan yang lebih sistematik… kita kena tahu komponen peralatan yang perlu diperbaharui dan ditukar sebelum sampai akhir hayat komponen tersebut,” katanya.

Loke berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia sempena Program Setahun Kerajaan Madani di sini hari ini.

Beliau berkata pengenalan penyelengaraan baharu itu merupakan satu indeks prestasi utama setahun Kementerian Pengangkutan di bawah Kerajaan Perpaduan.

Loke berkata  petunjuk prestasi utama kementerian itu mencerminkan tiga fokus utama tahun ini iaitu memperkasa sistem pengangkutan awam, memacu pendigitalan dan memperkukuh keselamatan jalan raya.

Beliau berkata sebagai contoh, kementerian itu telah melaksanakan beberapa agenda ke arah pendigitalan perkhidmatan antaranya cukai jalan dan lesen digital di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan yang turut menjadi indeks prestasi utama setahun di bawah Kerajaan MADANI.

“Walaupun ada beberapa kekangan dan kekurangan yang kita hadapi, itu merupakan langkah pertama untuk kita ke arah satu sistem perkhidmatan yang lebih digital, yang tidak perlu berinteraksi melalui kaunter, boleh dipaparkan dan juga perkhidmatan itu boleh diperoleh melalui pendigitalan.

“Itu merupakan satu proses penting yang perlu kita mulakan walaupun mungkin ada dalam kalangan rakyat yang masih belum bersedia ataupun tidak begitu menyesuaikan diri dalam perkhidmatan digital ini  namun saya yakin apabila ia dilancarkan, lama-kelamaan rakyat akan merasakan bahawa itu perkhidmatan yang terbaik kepada mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here