TIANJIN, 8 Dis – Anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong di sini pada Khamis.

Kedua-dua pemimpin juga bersama-sama mempengerusikan siri mesyuarat mekanisme kerjasama dua hala, antaranya mesyuarat ke-19 Jawatankuasa Bersama Kerjasama Dua Hala China-Singapura, mesyuarat ke-24 Majlis Penyelarasan Bersama Zon Perindustrian Suzhou, mesyuarat ke-15 Majlis Penyelarasan Bersama Kota Ekologi Tianjin China-Singapura dan mesyuarat ke-7 Majlis Penyelarasan Bersama projek rintis kesalinghubungan strategik China-Singapura (Chongqing).

Ding berkata pada tahun ini hubungan China-Singapura ditingkatkan ke tahap perkongsian yang lebih berkualiti tinggi merangkumi seluruh aspek yang berorientasikan masa depan. 

“Kedua-dua negara perlu memanfaatkan platform mesyuarat mekanisme kerjasama dua hala, menaik taraf kerjasama yang sedia ada di samping meneroka lebih banyak titik pertumbuhan dalam kerjasama agar membina paradigma baharu bagi kerjasama sama menang antara China dengan Singapura pada era baharu,” kata Ding.

Sementara itu, Lawrence Wong berkata hubungan Singapura dan China mengekalkan momentum perkembangan yang kukuh dan mencapai hasil amat memberangsangkan dalam pembinaan bersama Jalur dan Laluan. 

“Singapura bersedia bersama-sama China untuk meningkatkan pertukaran lawatan dalam pelbagai peringkat, memperkasakan koordinasi strategi pembangunan, memaksimumkan peranan mekanisme kerjasama dua hala agar memajukan hubungan kedua-dua negara ke hadapan,” kata Wong. 

Beliau juga menegaskan bahawa dua-dua negara dikehendaki bersama-sama memperkasakan perdagangan bebas dan mempromosikan keterbukaan serantau. 

Selepas pertemuan itu, Ding dan Wong mengumumkan beberapa hasil pencapaian, antaranya protokol untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas dan dasar pengecualian visa bagi pemegang pasport biasa selama 30 hari antara kedua-dua negara. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here