KUALA LUMPUR, 8 Dis – Pelbagai promosi dan diskaun boleh didapati oleh warga pendidik menerusi Program Cuti-Cuti Cikgu di reruai Kementerian Pendidikan (KPM) pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula hari ini hingga Ahad.

Unit Komunikasi Hubungan Antarabangsa dan Pendokumentasian, Bahagian Profesionalisme Guru KPM, Mohd Nazir Mohd Ghazali berkata semua guru diberikan diskaun menarik bagi merancang percutian mereka dengan kerjasama lima rakan strategik lain.

Beliau berkata lima rakan strategik itu adalah Malaysia Airlines, AirAsia, Traveloka, Bank Rakyat dan Tourism Malaysia.

“Guru-guru diberi kelebihan untuk merancang percutian dari segi pengangkutan, penginapan dan tempoh masa. Semua pakej untuk program ini ditawarkan di laman sesawang Sistem Guru Malaysia dan sah sehingga Jun 2024. Setakat ini, lebih 20,000 guru sudah melayarinya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Program Cuti-Cuti Cikgu dilancarkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-52 Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, pada 16 Mei lepas.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Kanan Jabatan Jualan Kerajaan Malaysia Airlines Berhad Noraini Jamaludin berkata setakat ini lebih 6,000 guru dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sudah berdaftar di bawah pakej itu melalui syarikat penerbangan berkenaan.

“Kami memberi potongan istimewa sehingga 20 peratus kepada semua guru sama ada menerusi penerbangan domestik atau antarabangsa. Saya mohon agar semua guru mengambil peluang ini agar mereka boleh merehatkan minda dan bercuti bersama keluarga,” katanya.

Guru Vinothan Ramayah, 40, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Damai 1, di sini, berpendapat program Cuti-Cuti Cikgu memberi peluang kepada warga pendidik sepertinya melancong dan merehatkan fikiran dengan harga mampu milik.

“Program ini memberi ruang selesa kepada guru-guru untuk menghabiskan masa bersama keluarga,” katanya yang merancang untuk bercuti ke Pulau Langkawi, Kedah, pada musim cuti sekolah ini.

Bagi Anita Zaiti Zainal, 30-an, dari Sekolah Kebangsaan Datuk Laksamana Raja Kota, Teluk Intan, Perak, program yang ditawarkan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memperkasakan kebajikan guru.

“Program ini bagus, ia membantu release tension selepas dibebani dengan pelbagai kerja. Jadi, semua guru harus manfaatkan peluang ini sebaiknya,” katanya yang merancang untuk bercuti ke Kota Kinabalu, Sabah, akhir tahun ini.

Sementara itu di reruai sama, orang ramai turut berpeluang mencetak semula pelbagai salinan sijil peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) melalui tawaran perkhidmatan daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LP).

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Dasar Sektor Dasar Pentaksiran LP Saiful Hisyam Mamat berkata pihaknya turut menawarkan perkhidmatan patching sijil SPM dengan harga RM100.

“Patching sijil SPM adalah perkhidmatan terbaru kita, kita gabungkan keputusan lama dan baharu dalam satu sijiil, bagaimanapun ia terhad kepada calon yang telah memperoleh sijil SPM kali pertama mulai tahun 2009 sahaja.

“Kita akan tawarkan secara percuma kepada individu yang kehilangan sijil akibat bencana, namun mereka perlu membawa laporan polis mengenai kejadian bencana serta kad pengenalan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here