KOTA KINABALU, 9 Dis – Sebanyak 231 cawangan kedai runcit 99 Speedmart di seluruh Sabah akan melaksanakan Jualan Rahmah Krismas bermula esok hingga 3 Jan tahun depan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jualan Rahmah Krismas menawarkan 36 produk barangan asas dan keperluan harian untuk rakyat negeri itu.

“Barangan yang ditawarkan antaranya beras, tepung, air minuman, serbuk pencuci, minyak masak botol 5 kilogram dan milo 1 kilogram ditawarkan pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga jualan sedia ada.

“Jualan Rahmah Krismas juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi persediaan menyambut Hari Krismas,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas melancarkan Jualan Rahmah Krismas di 99 Speedmart 1Borneo Hypermall di sini.

Kenyataan itu menyebut KPDN Sabah juga melihat tambahan diskaun Jualan Rahmah Krismas yang ditawarkan oleh 99 Speedmart sebagai tawaran berpatutan dan mampu milik kepada seluruh rakyat Sabah.

“KPDN terus komited untuk memastikan warga Sabah dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu,” katanya.

Pada masa sama, KPDN Sabah sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberikan ganjaran tambahan.

“KPDN Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 99 Speedmart (Malaysia Timur) Sdn Bhd atas inisiatif ini untuk membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan kos sara hidup mereka di Sabah,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here