KUALA LUMPUR, 15 Dis – Malaysia menduduki tempat pertama daripada 12 pasaran bagi kualiti juruaudit dan pengawal selia audit pada penilaian tadbir urus korporat (CG) dwitahunan ke-11 oleh Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA).

Pengawal selia auditnya juga merupakan kategori berprestasi terbaik negara, diikuti dengan kekuatan peraturan tadbir urus korporat dan penggunaan amalan tadbir urus korporat oleh syarikat-syarikat tersenarai.

Dalam dua kategori terakhir, Malaysia menduduki tempat kedua, selepas Australia.

ACGA yang meliputi 12 negara Asia Pasifik termasuk Australia, dalam laporan kedudukan pasaran Pemerhati CG 2023, mengekalkan kedudukan Malaysia di tempat ke-5, dengan peningkatan dicatatkan dalam enam daripada tujuh kategori penilaian.

Dari segi kategori pengawal selia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) diiktiraf antara lain, komunikasi berkesan mengenai tindakan penguatkuasaannya.

Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata ini merupakan hasil yang positif untuk Malaysia, khususnya kedudukan utama di seluruh pasaran dari segi juruaudit dan pengawal selia audit.

“Ia juga merupakan pengiktirafan yang kukuh terhadap peranan Lembaga Pemantauan Audit (AOB) dalam mempromosikan kualiti audit. Tadbir urus korporat yang baik akan kekal menjadi keutamaan SC dan kami akan terus bertindak ke atas bidang-bidang yang memerlukan pengukuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ACGA akan mengeluarkan laporan negara secara individu dalam beberapa bulan akan datang, dengan perincian lanjut tentang pemerhatian yang dinilai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here