PUTRAJAYA, 16 Dis – Malaysia dan Jepun akan menggalakkan kerjasama dalam sektor penyiaran dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun Fumio Kishida dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu.

Ini termasuk ICT untuk pengurusan bencana; pembangunan dan penggunaan rangkaian 5G yang terbuka, selamat dan berdaya tahan serta teknologi rangkaian yang inovatif untuk masa hadapan; keselamatan siber; Internet Kebendaan (IoT); bandar pintar; pengkomputeran awan; ekonomi digital dan pembuatan pintar.

“Kedua-dua pemimpin berkongsi hasrat mereka untuk bekerjasama dalam keselamatan ekonomi termasuk mengukuhkan ketahanan rantaian bekalan, sambil mengiktiraf kepentingan rantaian bekalan yang telus, pelbagai, selamat, mampan dan boleh dipercayai di rantau ini dan seterusnya dengan memastikan produktiviti dan kesalinghubungan serta meminimumkan risiko kepada gangguan rantaian bekalan masa depan,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan selepas pertemuan dua hala mereka di Tokyo.

Anwar dan Kishida berkongsi pandangan bahawa walaupun Jepun merupakan kuasa ekonomi utama dan telah mencapai kejayaan luar biasa dalam bidang seperti pembuatan, teknologi dan inovasi, Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan Islam, industri halal dan kepelbagaian budaya.

Dengan latar belakang itu, kedua-dua pemimpin mengakui kekuatan negara masing-masing dan mengesahkan hasrat mereka untuk berkongsi kepakaran berkenaan untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here