PUTRAJAYA, 18 Dis – Mangsa tanah runtuh di Sungai Ruil, Cameron Highlands yang melibatkan 17 keluarga Orang Asli akan ditempatkan di beberapa bangunan kuarters kerajaan dan badan berkanun berhampiran kawasan berkenaan, selewat-lewatnya awal Januari 2024.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa bangunan serta mengadakan perbincangan dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB), bagi menempatkan mangsa sebaik sahaja isu berkaitan kemudahan fasiliti seperti penyambungan bekalan elektrik dan air selesai.

Jakoa berkata laporan siasatan awal aspek teknikal oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dibuat pada awal November lepas mendapati, kerja baik pulih cerun yang runtuh akan mengambil masa dua tahun melibatkan peruntukan lebih RM3 juta.

“Ini termasuk untuk pengukuhan dan penstabilan cerun di persekitaran kawasan terjejas yang akan dilaksanakan JKR dan dijangka dapat diselesaikan dengan penyerahan projek pada November 2025,” kata Jakoa dalam maklum balas kepada dakwaan bahawa Jakoa dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), tidak mengambil tindakan drastik untuk menyelesaikan masalah itu.

Ahli Dewan Negara Datuk Ajis Sitin yang juga bekas Ketua Pengarah Jakoa semalam, dilaporkan merayu campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu 88 Orang Asli yang masih tersadai di penempatan sementara dan belum boleh pulang ke rumah masing-masing.

Ajis berkata pihak berkenaan perlu mengambil tindakan serta merta membaiki tanah runtuh tersebut dan membaik pulih rumah yang terjejas, supaya penghuni terlibat boleh memasuki rumah mereka secepat mungkin.

“Jakoa sentiasa komited dan akan terus membantu keluarga Orang Asli yang terjejas, dalam memastikan kebajikan mereka terjaga supaya dapat menjalani kehidupan seperti biasa walaupun terpaksa tinggal di penempatan sementara,” kata jabatan itu.

Insiden yang berlaku pada 12 Okt lepas di projek penempatan semula Orang Asli Sungai Ruil di Cameron Highlands, dikenal pasti berpunca daripada paip bawah tanah yang pecah dan kekerapan hujan terutama pada waktu malam.

Dilaporkan enam rumah dan tiga motosikal terjejas dalam kejadian tersebut serta penduduk diarah mengosongkan kediaman masing-masing atas faktor keselamatan dan kini mereka masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Kampung Sungai Ruil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here