GEORGE TOWN, 21 Dis – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuka permohonan bagi lesen gerai sementara bermusim sempena musim perayaan iaitu bazar Ramadan, gerai sempena Tahun Baharu Cina dan Thaipusam untuk tahun depan.

Pengerusi Gantian Jabatan Perlesenan dan Kesihatan Awam MBPP Tan Soo Siang berkata permohonan permit sementara bermusim bagi Thaipusam akan dibuka mulai 24 Dis hingga 24 Jan depan manakala permohonan permit sementara bermusim bagi Tahun Baharu Cina bermula 24 Dis hingga 9 Feb depan.

”Permohonan permit sementara bermusim bagi bazar Ramadan 2024 dibuka mulai 24 Dis hingga 29 Feb dan kelulusan bagi permohonan permit ini akan mengambil masa sekitar tiga hingga 14 hari. MBPP menggalakkan peniaga memohon permit bagi mengelak sebarang tindakan diambil kepada mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata warga asing tidak dibenarkan untuk memohon permit sementara bermusim itu, malah mereka juga tidak dibenarkan menguruskan perniagaan di mana-mana gerai atau tempat perniagaan di negeri ini.

Menurut Tan sekiranya MBPP mendapati terdapat warga asing mengendalikan perniagaan di gerai yang memperoleh permit sementara bermusim, MBPP akan menyita dan merampas barang perniagaan serta-merta.

Tan berkata MBPP juga meminta semua pemilik gerai makanan yang akan beroperasi di bazar Ramadan, gerai sempena Tahun Baharu Cina dan Thaipusam untuk memastikan pekerja yang akan mengendalikan jualan makanan mempunyai sijil suntikan tifoid yang sah tempoh.

Beliau berkata hal itu kerana ada dalam kalangan pemilik gerai memberikan alasan bahawa mereka tidak tahu tentang keperluan berkenaan apabila MBPP menjalankan pemeriksaan.

”Jadi, pihak MBPP ingin meminta mereka bersiap sedia dan memastikan pekerja sudah disuntik kerana ada yang tidak memahami kepentingan suntikan itu.

“Sepatutnya mereka (peniaga) yang terlibat dalam rantaian penyediaan makanan perlu mendapatkan suntikan itu,” katanya menambah pengendali makanan yang tidak mempunyai sijil suntikan tifoid yang sah boleh dikompaun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here