DHAHRAN, 22 Dis – Saudi Aramco (Aramco), antara syarikat tenaga dan bahan kimia bersepadu terbesar dunia, akan terus membuat pelaburan signifikan di China, India serta Asia Tenggara dan melihat Asia sebagai lubuk peluang serta pasaran bagi pertumbuhan, khususnya dalam aktiviti hiliran.

Presiden (Hiliran) Aramco Mohammed Y. Al Qahtani berkata Asia juga merupakan pasaran mantap bagi firma Arab Saudi berkenaan yang pada masa ini mewakili kira-kira 80 peratus daripada eksport minyak mentah dengan produk cecair kepada bahan kimia akan menjadi penyumbang utama di masa depan.

“Unjuran kami ini tidak hanya merujuk pelaburan di Arab Saudi tetapi juga satu komponen signifikan ke arah pelaburan global, terutama di China, India adan Asia Tenggara.

“Sehubungan itu, ia merupakan pasaran serta wilayah yang amat penting untuk Aramco dan kami menumpukan program besar-besaran yang menyasarkan untuk mengubah empat juta tong cecair kepada bahan kimia bagi kegunaan segmen seperti operasi bendalir dan peruncitan di peringkat dunia,” kata Mohammed dalam temu bual dengan BERNAMA dan wakil media lain dari China, Korea Selatan serta Jepun di ibu pejabat Aramco di sini, baru-baru ini.

Merujuk langkah pengambilalihan 10 peratus kepentingan dalam Rongsheng Petrochemical Co Ltd pada harga kira-kira US$3.6 bilion, Mohammed menyifatkannya sebagai bukti komitmen Aramco terhadap China yang kekal sebagai pasaran terbesar bagi minyak Arab Saudi yang merangkumi hampir 1.8 juta tong sehari.

Pada masa sama, katanya, Aramco turut bekerjasama dengan beberapa syarikat lain di China termasuk Norinco Group dan Panjin Xincheng Industrial Group bagi membangunkan kompleks penapisan dan petrokimia utama di wilayah Liaoning, China.

“Kami sedang mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran minyak sebanyak sejuta tong sehari kepada 13 juta tong sehari menjelang 2027 dan meningkatkan pengeluaran gas melebihi 50 peratus menjelang 2030,” katanya.

Bagi Korea Selatan, beliau berkata Aramco terbabit dalam projek Shaheen bernilai US$7 bilion di Ulsan yang mana majlis pecah tanahnya telah berlangsung pada Mac lepas dan merupakan projek tunggal terbesar bagi pelaburan langsung asing di negara itu.

Mohammed berkata Aramco juga bekerjasama dengan firma Malaysia, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Asia Tenggara bagi mewujudkan Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd atau PRefChem di Pengerang, Johor.

Usaha sama itu menyaksikan pelaburan Aramco sebanyak US$7 bilion. Kompleks penapisan itu mempunyai kapasiti 300,000 tong sehari dan menghasilkan rangkaian produk petroleum bertapis, termasuk bahan api jet bersulfur rendah, gasolin dan diesel yang menepati spesifikasi Euro 5.

Beliau berkata, ini akan turut menyediakan stok suapan bagi kompleks petrokimia bersepadu yang mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 3.3 juta tan metrik.

“Dalam usaha untuk terus mengekalkan dan mengembangkan lagi kehadiran Aramco dalam pasaran ini, kami akan meninjau pasaran besar dan tradisional seperti Amerika Syarikat yang menawarkan peluang bagi pelaburan berterusan membabitkan banyak bidang; kami juga dalam usaha mewujudkan portfolio bertaraf dunia dalam pelaburan hiliran, penapisan dan petrokimia bersepadu,” katanya.

Sementara itu, kunjungan selama dua hari ke kemudahan Aramco itu juga menyaksikan wartawan terbabit dibawa melawat Ras Tanura di wilayah timur yang menempatkan terminal eksport minyak terbesar dan fasiliti penapisan minyak utama bagi Arab Saudi.

Saudi Aramco yang berusia 90 tahun dan beribu pejabat di Dhahran, mempunyai simpanan minyak mentah kira-kira 197 bilion tong selain disokong oleh kira-kira 70,000 pekerjanya di peringkat global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here