KUCHING, 28 Dis – Dasar pendidikan tinggi percuma Sarawak menjelang 2026 tidak akan menyebabkan kenaikan cukai atau pengurangan di dalam pembangunan sektor-sektor lain, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.

Sebaliknya, kata beliau dasar itu boleh dipertahankan menerusi satu model kewangan kukuh oleh kerajaan negeri selama ini , dan terbukti apabila Sarawak terus mencatat kenaikan pendapatan sejak beberapa tahun lepas.  

“Kami tahu pendapatan kami akan meningkat. Sarawak mencatatkan pendapatan sebanyak RM13.1 bilion  pada 2023 … Keluaran Dalam Negara Kasar kami juga dijangka meningkat,” katanya kepada pemberita dalam satu wawancara menerusi aplikasi Zoom di sini.

Pada 22 Nov lepas, Dr Annuar dilaporkan berkata 25,000 penuntut Sarawak di negeri ini dijangka menerima manfaat daripada dasar pendidikan tinggi percuma itu nanti.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 1 Okt lepas berkata pendidikan percuma di universiti serta institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak adalah untuk anak jati Bumi Kenyalang dan dijangka dilaksanakan pada 2026.

Beliau berkata unjuran pendapatan tahunan Sarawak yang terus menunjukkan peningkatan sejak 2020 telah memberikan keyakinan kepadanya untuk menetapkan jangkaan itu oleh kerajaan negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here