KOTA BHARU, 30 Dis — Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penyaluran wang ihsan berjumlah RM177.96 juta kepada negeri itu.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata keseluruhan terimaan wang ihsan bagi tahun 2023 kepada Kelantan adalah RM217.96 juta.

Beliau mewakili kerajaan negeri turut menyambut baik beberapa pengumuman Perdana Menteri semasa turun ke negeri Kelantan bagi meninjau situasi banjir dan melawat mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas pada Khamis.

“Ia termasuk kelulusan peruntukan segera bagi membina benteng sementara bagi projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang bernilai RM6 juta

“Proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM910.52 juta akan dimulakan pada tahun 2024,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nassuruddin turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi menyegerakan urusan pengambilan balik tanah bagi projek-projek ini.

“Kerajaan Negeri yakin pengumuman itu akan memberi manfaat demi kesejahteraan rakyat negeri Kelantan sekali gus memperkukuhkan semangat federalisme antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan selari dengan Budaya Politik Matang Dan Sejahtera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here