KUALA LUMPUR, 6 Jan — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melakukan anjakan paradigma dengan memberi penekanan kepada pelaksanaan segera dasar, program serta langkah intervensi  bagi menyahut cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk institusi pengajian tinggi (IPT) negara berubah dan mampu bersaing di peringkat dunia.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sudah tiba masanya IPT keluar daripada persekitaran biasa  dengan bertindak lebih pantas bagi memastikan dunia pendidikan tinggi negara tidak ketinggalan.

“Kita tidak ada masa untuk berada dalam lingkungan yang biasa-biasa dan mengikut sahaja sedangkan ada hal yang tidak perlu mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan,” katanya selepas menutup Wacana Strategi KPT di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cabaran yang dilontarkan Anwar kepada cendekiawan dan pemimpin universiti untuk melakukan anjakan paradigma dalam mendepani cabaran dalam dunia pasca normal bagi memastikan negara tidak ketinggalan.

Mengenai wacana dua hari itu, Zambry berkata hasil perbincangan antara IPT, pemain industri dan pihak berkepentingan yang terlibat akan diguna pakai KPT dalam menetapkan sasaran kerja bagi tahun ini. 

“Ia juga memberi peluang untuk kami mengukuhkan perkara yang telah dirancang dengan mendengar pandangan pihak luar tentang program serta rancangan sedia ada KPT,” katanya.

Selain itu, Zambry turut menjelaskan akan meneruskan dasar dan perancangan KPT sebelum ini yang telah dipersetujui sama ada di peringkat universiti, politeknik dan kolej komuniti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here