MERSING, 7 Jan — Kira-kira 70 peratus jalan Persekutuan yang rosak di daerah ini termasuk FT03 (Mersing-Kota Tinggi-Johor Bahru) telah dibaiki, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi. 

Beliau berkata kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf selebihnya dijangka selesai tahun ini demi menjamin keselamatan pengguna. 

“Saya juga nak kongsikan bahawa, Alhamdulillah, ada perbezaan yang cukup ketara terhadap jalan-jalan Persekutuan (selepas diselenggara) terutamanya dari Kota Tinggi ke Mersing (FT03).

“Pada masa sama, jalan-jalan Persekutuan yang lain pun termasuk FT01 (Muar-Yong Peng-Johor Bahru) dan FT05 (Muar-Batu Pahat-Pontian-Johor Bahru) pun kita sedang usahakan (diselenggara), ” katanya kepada pemberita selepas melawat projek Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tenggaroh di sini hari ini. 

Mengulas mengenai projek R&R Tenggaroh, Onn Hafiz berkata hentian yang menjadi laluan utama pengguna ke pantai timur dengan kos keseluruhan RM8.2 juta itu dijangka siap akhir tahun depan. 

“Kita akan pecahkan projek ini kepada tiga fasa untuk diluluskan dan insya-Allah pada akhir tahun hadapan kawasan R&R ini akan selesai dibina. 

“Pada masa sama, seperti dibentangkan tadi akan ada stesen minyak yang mempunyai kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) agar mereka yang menggunakan kenderaan berkenaan boleh mengecasnya di sini selain untuk pemandu kenderaan berat,” katanya. 

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta mengikut arahan pihak berwajib berikutan keadaan cuaca tidak menentu di Johor.  

Terdahulu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran, menjangkakan banjir berlaku secara berperingkat di beberapa daerah di Johor iaitu Kulai, Johor Bahru dan Pontian, susulan amaran hujan berterusan (buruk) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pagi tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here