BUTTERWORTH, 20 Jan – Projek pembinaan paip lencongan sementara yang merentasi atas Sungai Perai dan bawah Jambatan Ampang Jajar telah mencapai 50 peratus dan dijangka siap pada 2 Feb nanti.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerja-kerja pembinaan paip lencongan termasuk memasang dua batang paip 600 milimeter (mm) di Sungai Perai itu berjalan lancar dan mengikut jadual seperti dirancang.

Beliau berkata pengoperasian saluran dua paip itu ialah penyelesaian sementara yang akan menangani risiko kebocoran yang lebih besar daripada saluran paip dasar Sungai Perai yang bocor sebelum ini.

“Dua paip 600 mm itu adalah untuk menggantikan sementara bahagian saluran paip bawah air 1,350 mm di Sungai Perai yang bocor baru-baru ini, paip baharu itu boleh digunakan antara enam hingga lapan bulan sebelum projek baharu paip dasar Sungai Perai itu dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sungai Perai di sini.

Pada lawatan bagi melihat kerja-kerja pembinaan paip lencongan itu, Chow turut diberi penerangan lanjut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Ir K. Pathmanathan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Digital negeri Zairil Khir Johari.

Mengulas lanjut, Chow berkata apabila kerja-kerja pemasangan lencongan paip sementara itu selesai, akan berlaku gangguan bekalan air berjadual membabitkan 120,000 pengguna terutama di derah Barat Daya.

Beliau berkata bagaimanapun, bekalan air akan terjejas kira-kira 16 hingga 24 jam sahaja dan pihak PBAPP akan memaklumkannya lebih awal supaya pengguna terlibat dapat melakukan persediaan dengan menyimpan bekalan air.

Sementara itu, Pathmanathan berkata sehingga hari ini, PBAPP menanggung sebanyak 154 juta liter sehari (JLH) air daripada kebocoran saluran paip bawah air di dasar Sungai Perai.

“Dengan pengoperasian saluran dua paip 600 mm yang berada di permukaan air itu, saluran paip di dasar Sungai Perai akan ditamatkan operasi, seterusnya PBAPP akan mendapatkan kelulusan Lembaga Pengarahnya untuk memulakan kerja saluran paip menyeberangi sungai 1,350 mm baharu dengan struktur sokongannya sendiri sebagai penyelesaian kekal,” katanya.

Beliau berkata penyelesaian kekal itu perlu kerana PBAPP memerlukan bahagian saluran paip 1,350 mm baharu yang boleh mengendalikan lebih banyak aliran air tekanan tinggi berbanding saluran dua paip 600 mm itu.

Menurut beliau selain itu, PBAPP tidak boleh memuatkan saluran paip dan jisim air secara kekal di jambatan di Ampang Jajar demi kepentingan awam dan jaminan bekalan air kepada orang ramai.

“Jangka masa yang disasarkan untuk penyelesaian saluran paip menyeberangi sungai ialah empat hingga enam bulan dan PBAPP berharap ia boleh disegerakan untuk keutamaan bekalan air serta melindungi kepentingan pengguna di negeri ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here