JAKARTA, 20 Jan – Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau dihentikan berkuatkuasa Jumaat berikutan abu gunung berapi tersebar dari Gunung Marapi di Sumatera Barat.

Ketua Lapangan Terbang Wilayah VI Kapten Megi H. Helmiadi berkata bahawa keputusan itu dibuat disebabkan abu gunung berapi dan keperluan mendesak berhubung isu keselamatan penerbangan.

“Demi keselamatan perjalanan udara, kami akan menangguhkan operasi di lapangan terbang mulai 2:15 petang hingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi penerbangan di lapangan terbang sama pernah dibatalkan selepas kejadian letusan gunung berapi sama pada 22 Dis lepas.

Data terkini daripada agensi volkanologi PVMBG mendedahkan satu lagi letusan Gunung Marapi berlaku pada 10.14 pagi Jumaat.

Ketua PVMBG Bukittinggi Teguh Purnomo melaporkan bahawa gunung berapi itu menghamburkan abu setinggi 500 meter, dengan ia menghala ke arah Barat Daya.

Pada 3 Dis 2023, Gunung Marapi pernah menghamburkan abu hingga mencecah 3,000 meter, mengakibatkan 23 pendaki maut dan tiga lagi cedera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here