MELAKA, 22 Jan – Projek pembinaan bangunan baharu blok Wad Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka bernilai RM700 juta akan bermula tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2029.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata tapak pembangunan projek itu akan diserahkan kepada kontraktor pada Oktober depan bagi kerja-kerja meroboh bangunan lama di Kolej Kejururawatan Melaka, seterusnya membina bangunan baharu tersebut.

“Pembinaan blok baharu itu akan membabitkan kemudahan utama seperti wad yang menempatkan 396 katil, kamar bersalin, dewan bedah dan unit rawatan rapi (ICU) untuk ibu dan kanak-kanak dan perkhidmatan lain serta tempat meletak kenderaan.

“Kita dimaklumkan pembinaan wad baharu ini hanya akan melibatkan satu blok namun reka bentuk dan jumlah tingkat masih belum dipastikan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Kerja-kerja Menaik taraf dan Penggantian Sistem Lif di Hospital Melaka yang dirasmikan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Turut hadir Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Sementara itu Hameed berkata kerja-kerja menaik taraf dan penggantian sistem lif di Hospital Melaka itu membabitkan kos kira-kira RM7.45 juta melibatkan 11 lif penumpang di bangunan blok baru, Blok B dan A serta blok pentadbiran.

Beliau berkata kerja naik taraf itu bermula pada September 2022 dan siap sebulan daripada tarikh ditetapkan.

“Dengan selesainya naik taraf ini ia dapat memberi keselesaan kepada pengguna sama ada kakitangan atau pengunjung di hospital selain projek ini juga berjaya menjimatkan kos sebanyak RM500,000,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here