KUALA LUMPUR, 30 Jan – India akan memberi keutamaan kepada kerjasama dengan Malaysia dalam sektor ekonomi digital, meletakkannya sebagai teras penglibatan dalam hubungan dua hala untuk bergerak ke hadapan, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy.

Beliau berkata ini akan dicapai menerusi penubuhan Majlis Digital Malaysia-India dan mengoperasikan ‘Malaysia-India Startup Bridge’.

Dengan menyatakan keyakinan dalam hubungan yang berkembang antara “India Baharu” dan “Malaysia Madani,” Reddy menegaskan bahawa hubungan itu akan menjadi lebih relevan dan signifikan.

“Perdana Menteri India Narendra Modi mengumumkan tekad India Baharu untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2047, pada tahun India menyambut hari kemerdekaan ke-100.

“Malaysia akan menjadi rakan kongsi penting dalam perjalanan kami apabila India menjadi sebuah negara maju,” kata beliau dalam ucapannya pada majlis sambutan ulang tahun ke-75 Hari Republik India di sini pada Isnin malam.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan ahli kor diplomatik. 

Reddy menegaskan bahawa hubungan India-Malaysia bukan sahaja berakar umbi dalam kepentingan bersama tetapi juga dalam nilai-nilai yang mendalam, demokrasi, kedaulatan undang-undang dan keutamaan kepada ketertiban antarabangsa yang berdasarkan undang-undang.

 Beliau menyifatkan ia sebagai perkongsian semula jadi dan inovatif, meramalkan 2024 sebagai tahun yang menjanjikan untuk mengeratkan hubungan dua hala, terutamanya di bawah kerajaan stabil yang dipimpin oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.  

 Menonjolkan penglibatan peringkat tinggi yang kerap antara kedua-dua negara, Reddy menyatakan bahawa 12 lawatan menteri dan timbalan menteri sejak Dis 2022, termasuk mesyuarat suruhanjaya bersama di New Delhi pada November tahun lalu.

Beliau juga menekankan peranan penting yang dimainkan oleh 2.7 juta penduduk keturunan India di Malaysia, menganggap mereka sebagai penghubung penting untuk penglibatan bersama.

Diplomat itu juga mengiktiraf sumbangan besar kira-kira 15,000 ekspatriat India kepada ekonomi Malaysia, dengan menarik perhatian kepada ulang tahun penubuhan ke-50 Bharat Club, sebuah persatuan yang ditubuhkan oleh ekspatriat India pada tahun ini.

Reddy juga menyebut mengenai keberadaan kira-kira 115,000 pekerja India yang bekerja di Malaysia. Semasa ucapannya, Reddy berkongsi statistik positif mengenai kemajuan India, dengan menyatakan bahawa 250 juta warga di India telah keluar daripada kemiskinan dalam tempoh sembilan tahun yang lalu. 

Perdagangan dua hala India-Malaysia semasa berjumlah US$20 bilion, dengan rancangan untuk berkembang kepada US$25 bilion menjelang tahun 2025.

Selain itu, dengan kira-kira 200 penerbangan seminggu ke 11 destinasi di India dan perjalanan tanpa visa untuk warga India, India muncul sebagai negara paling pesat berkembang bagi pelancong yang melawat Malaysia.

“Jumlah pelancong dari India mencecah hampir setengah juta dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023, iaitu peningkatan 88 peratus berbanding 2022,” kata Reddy.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here