KUALA LUMPUR, 31 Jan – Walaupun berdepan cabaran berikutan isu geopolitik dan risiko ekonomi yang berterusan, Malaysia di kedudukan unik untuk mampu mengulangi kejayaan yang dicapai sebelum ini, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Beliau berkata 2024 mungkin merupakan satu lagi tahun yang tidak dapat diramal, dengan pergolakan dan konflik di Eropah dan Timur Tengah, dan sukar untuk tidak memberikan perhatian terhadap kesannya yang meluas.

“Terdapat banyak perbincangan mengenai perubahan politik di seluruh dunia dan sesuatu yang menarik perhatian untuk menyaksikan bagaimana perkara ini mungkin berlaku. Rakyat turut bimbang tentang kadar faedah tinggi yang menjejaskan kos sara hidup. Kita akan menyaksikan bagaimana perkara ini memberikan kesan kepada ekonomi global dari masa ke masa.

“Saya yakin banyak tumpuan akan diberikan terhadap hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China. Memandangkan ekonomi kedua-duanya luas, apa sahaja yang berlaku di sana boleh mempengaruhi situasi di peringkat global,” katanya dalam ucaptama pada Forum Tinjauan Ekonomi dan Strategik Global 2024 yang dianjurkan bersama oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Economic Club of Kuala Lumpur, dan World Digital Chamber.

Fadillah berkata dunia sedang menyaksikan situasi perubahan iklim, kerumitan geopolitik dalam pelbagai perkara sejak akhir-akhir ini, perang dagang AS-China, pandemik COVID-19, tindakan Rusia di Ukraine dan konflik Gaza.

“Kesemua ini meningkat dan mencetuskan lebih banyak ketidakpastian, yang sukar untuk difahami,” katanya.

Meskipun terdapat isu dan ketidakpastian yang mungkin timbul, menurutnya beliau lebih optimis. Walaupun berdepan tahun 2023 yang mencabar, Malaysia berupaya menghindarkan kemelesetan dan mengurangkan inflasi, yang memberikan harapan kepada rakyat.

Beliau berkata, pada 2024, ekonomi Malaysia dijangka tumbuh dengan baik antara 4 dan 5 peratus, seperti yang diunjurkan oleh Kementerian Kewangan.

Menurut Fadillah, kerajaan sedang melaksanakan langkah untuk mengurangkan subsidi bahan api dan menyesuaikan harga bahan api untuk mengawal inflasi. Selain itu, pasaran pekerjaan adalah kukuh, disokong oleh prospek perniagaan yang positif, pengangguran rendah dan kenaikan upah sebenar yang stabil.

“Kerajaan terus menyediakan sokongan fiskal yang besar dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM90 bilion dalam Belanjawan 2024. Bidang tumpuan kita termasuk pembangunan industri, pelaburan hijau, infrastruktur, dan penambahan utiliti awam,” katanya

Dalam perkembangan lain, beliau berkata strategi pelaburan yang berkesan telah membuahkan hasil, dan berdasarkan data Januari-September 2023, sebanyak RM225 bilion pelaburan berjaya diraih, peningkatan 6.6 peratus daripada tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Pelaburan ini adalah daripada 3,949 projek dan dijangka mewujudkan 89,495 pekerjaan baharu, memperkukuh prestasi dan kedudukan teguh Malaysia dalam perkhidmatan, pembuatan dan industri utama, katanya.

Beliau berkata Malaysia mengukuhkan komitmennya kepada neutral karbon menjelang 2050. Langkah ini bertujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030 selaras dengan Perjanjian Paris.

Melangkah ke 2024, katanya keperluan untuk kerjasama dalam tindakan iklim adalah lebih mendesak berbanding sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerjasama awam-swasta-masyarakat untuk bersama-sama mempercepat kemajuan dalam memerangi perubahan iklim bagi mencapai matlamat pembangunan mampan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here