ALOR GAJAH, 1 Feb – Projek menaik taraf Kompleks Air Panas Gadek yang berkonsepkan Wellness and Spa Resort akan dibuka pada pertengahan April iaitu selepas sambutan Aidilfitri tahun ini, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata projek melibatkan kos RM18.5 juta di atas tanah seluas 4.05 hektar itu, kini berbaki lima peratus dan dijangka selesai sepenuhnya pada 20 Feb ini.

“Kemajuan projek ini mengikut jadual ditetapkan dan pihak kontraktor sedang menyiapkan kerja-kerja kemasan terakhir yang berbaki lima peratus dan akan dibuka selepas Hari Raya nanti,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak projek Kompleks Air Panas Gadek di sini hari ini.

Ab Rauf berkata pembangunan projek atas sifat air panas semula jadi dengan suhu 42 hingga 56 darjah Celsius itu mampu menjadi tarikan baharu produk pelancongan berasaskan kesihatan menerusi mandian air panas di kawasan itu yang mengandungi sulfur dan baik untuk kesihatan.

“Apabila dibuka nanti dengan kemudahan yang moden dan selesa, ia mampu menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong dengan anggaran lebih 400 orang menginap di sini pada satu-satu masa,” katanya.

Menurut Ab Rauf, pembukaan semula Kompleks Air Panas Gadek itu dapat melonjakkan ekonomi setempat terutama ketika sambutan Tahun Melawat Melaka tahun ini.

Projek menaik taraf Kompleks Air Panas Gadek bermula 11 Ogos 2021 itu merangkumi pelbagai kemudahan antaranya 20 bilik hotel, lapan chalet berkembar, satu spa keluarga, dewan, kolam air panas keluarga dan individu serta surau. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here