KAJANG, 2 Feb – Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta semua pihak, terutama ibu bapa, untuk melaporkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya berlaku sebarang pemotongan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) oleh pihak sekolah.

Beliau berkata hal ini kerana bantuan sebanyak RM150 bagi setiap murid itu perlu disalurkan sepenuhnya kepada ibu bapa tanpa sebarang bentuk pemotongan.

“Tidak boleh dipotong (bantuan ini). BAP mestilah sampai ke tangan ibu bapa dengan jumlah yang diberikan oleh kerajaan (RM150). Mudah-mudahan, dengan BAP ini dapat kita ringankan beban ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yu Hua di sini hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan mengenai perkongsian menerusi laman X yang mendakwa pihak ibu bapa hanya mendapat RM50 daripada keseluruhan RM150 yang diperuntukkan bagi BAP.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dilaporkan berkata tiada sebarang aduan atau laporan diterima melibatkan pemotongan wang BAP oleh pihak sekolah sejak ia diagihkan di seluruh negara bermula 10 Jan lepas.

Menurut Wong, sebanyak RM788.17 juta BAP diperuntukkan kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara yang dijangka selesai diagihkan menjelang 10 Feb ini. 

Pada majlis hari ini, Fadhlina turut menyerahkan cek cura BAP berjumlah RM127,311,600 kepada Pengarah Pendidikan Selangor Dr Jafri Abu untuk disalurkan kepada 848,744 murid di 933 sekolah di negeri itu.

Menurut beliau, Selangor mempunyai bilangan penerima BAP yang tertinggi kerana mempunyai jumlah murid paling ramai di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here