KUALA LUMPUR, 14 Feb – Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatan dari Australia Penny Wong pada Selasa, membincangkan mengenai hubungan dua hala dan persediaan mesyuarat tahunan pemimpin kedua-dua negara.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam catatan di Facebook berkata kedua-dua pihak mengadakan perbincangan mengenai hubungan dua hala Malaysia-Australia di bawah rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan mengenai persediaan Mesyuarat Tahunan Pemimpin Malaysia-Australia kali kedua dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia yang dijadualkan di Melbourne pada Mac.

Malaysia dan Australia menaik taraf hubungan diplomatik melalui CSP pada 2021 yang dirasmikan semasa Mesyuarat Tahunan Pemimpin Australia-Malaysia kali pertama yang berlangsung secara maya.

“Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa kepentingan bersama, khususnya situasi di Gaza,” menurut Wisma Putra.

Malaysia dan Australia merupakan rakan rapat dan rakan kongsi dengan kedua-dua negara yang berkongsi ciri, minat dan nilai yang sama sebagai negara demokrasi berbilang budaya, pelbagai agama dan berparlimen.

Australia membuka pejabat suruhanjaya tingginya di Kuala Lumpur pada tahun 1955 dan Malaya ketika itu membuka pejabat yang sama di Canberra pada tahun berikutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here