PUTRAJAYA, 17 Feb – Sebanyak 60 perpustakaan desa telah dijadikan sebagai pusat pendaftaran tambahan untuk Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata ia merupakan usaha Jabatan Perangkaan (DOSM) menjalin kerjasama strategik dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi menambah kaunter fizikal dalam menggalakkan lebih ramai rakyat berdaftar dengan PADU.

“60 perpustakaan desa adalah sebagai pusat pendaftaran tambahan untuk PADU di samping lebih 900 Pusat Ekonomi Digital (PEDi), Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

“Pendaftaran PADU akan dibuka hingga 31 Mac 2024. Rakyat Malaysia dinasihatkan agar tidak melaksanakan pengemaskinian PADU pada saat-saat akhir kerana ia akan mengakibatkan kesesakan pada sistem,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi membantu pengemaskinian secara kendiri, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-7720 / 21 yang beroperasi bermula 8 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Sebarang maklum balas, aduan, penghargaan, pertanyaan serta cadangan penambahbaikan berkenaan sistem dan mekanisme pelaksanaan PADU boleh disalurkan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) PADU https://padu.spab.gov.my.

Sistem PADU telah dilancarkan pada 2 Jan lepas dan rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas boleh membuat pendaftaran dan kemas kini maklumat individu hingga 31 Mac. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here