KUALA LUMPUR, 17 Feb – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan sesi libat urus dengan semua Ahli Parlimen mengenai cadangan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan menerangkan mengenai keperluan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan semula akta itu untuk mengawal jenayah kepada Ahli Parlimen dan pihak yang berkaitan.

“KDN dan PDRM bersedia mengadakan sesi libat urus untuk menunjukkan bagaimana keterbukaan yang KDN buat melibatkan pelbagai pihak termasuk dalam perkara-perkara menambah baik POCA.

“Kita akan melibatkan lebih ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Rakyat kerana akhir sekali kita perlu membuat penerangan yang tepat kepada mereka sebelum kita melakukan pindaan,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Briged Tengah Pasukan Gerakan Am di Cheras hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 4 dan 15B POCA ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Perkara 121 dan 4(1) Perlembagaan Persekutuan kerana merampas kuasa semakan kehakiman mahkamah.

Baru-baru ini, satu sesi libat urus telah diadakan yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here