KUALA LUMPUR, 20 Feb – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyeru pembuat kenderaan elektrik (EV) yang mempunyai kilang pembuatan di Malaysia mempertimbangkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab untuk membekalkan dan menawarkan perkhidmatan ke pasaran EV yang berkembang pesat di Asean. 

Beliau berkata demikian berikutan pasaran EV di Asean dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 33 peratus daripada kira-kira US$500 juta pada 2021 kepada US$2.7 bilion (RM11.77 bilion) menjelang 2027.

“Malaysia mempunyai banyak faktor positif yang menjadikan landskap pelaburan kita sesuai bagi menyokong hasrat hab serantau syarikat multinasional.

“Selain daripada lokasi yang strategik, infrastruktur yang baik dan kedaulatan undang-undang, kita juga mempunyai industri elektrik dan elektronik (E&E) mantap yang telah memberi sokongan kepada industri lain termasuk aeroangkasa, tenaga boleh baharu dan EV,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama pada majlis memperkenalkan inisiatif Beyond Zero UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota) di sini hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here