KUALA LUMPUR, 26 Feb – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan memfokuskan kepada pembaharuan peraturan, kesediaan tenaga kerja pada masa depan dan penerimagunaan teknologi dan pendigitalan bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti pada 2024.

Ketua Pengarahnya Zahid Ismail berkata ini bertujuan bagi memastikan kelulusan pelaburan berjumlah RM329.5 bilion pada 2023 yang membabitkan 5,101 projek serta potensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu dapat disegerakan untuk membolehkan sasaran pertumbuhan produktiviti 3.7 peratus sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dapat dicapai.

“MPC komited berkerjasama dalam memudah cara inisiatif peningkatan produktiviti bagi memastikan sasaran Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-12 boleh dicapai.

“Melalui kerjasama erat antara pihak kerajaan dan pemain industri, MPC yakin produktiviti boleh ditingkatkan dengan menangani isu dan cabaran yang membelenggu operasi perniagaan dan penyampaian perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MPC, tahap produktiviti bagi setiap pekerja pada 2023 merekodkan peningkatan kepada RM96,692 berbanding RM95,858 pada 2022, manakala pertumbuhan produktiviti negara pula positif namun menyederhana dengan kadar 0.9 peratus pada tahun lepas.

KSP RMKe-12 menyasarkan pertumbuhan produktiviti kukuh dengan kadar 3.8 peratus setahun bagi tahun 2024 dan 2025.

“Sasaran ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam semua sektor ekonomi, serta memastikan kedudukan Malaysia berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran kerangka Ekonomi MADANI.

“MPC yakin sasaran ini mampu dicapai,” katanya.

Perbadanan tersebut berkata peningkatan jumlah pekerja pada 2023 kepada 16.2 juta menggambarkan trajektori positif pewujudan peluang pekerjaan baharu dan peningkatan aktiviti ekonomi pada masa depan yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti yang lebih kukuh.

“MPC yakin peningkatan produktiviti menjadi pemacu perubahan ke arah kualiti hidup rakyat yang lebih baik dan kesejahteraan negara secara menyeluruh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here