KUALA LUMPUR, 27 Feb – Terdapat keperluan untuk menyediakan perlindungan dan keselamatan kepada pekerja tidak formal bagi mengekalkan mereka di pasaran buruh dan memaksimumkan sumbangan mereka kepada ekonomi keseluruhan, kata Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Yasuhiko Matsuda.

“Oleh itu, keperluan asasnya adalah mereka ini dilindungi dengan baik sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan, atau perniagaan mereka kurang berjaya, (supaya) mereka mempunyai sesuatu yang boleh membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laporan ‘Pekerjaan Tidak Rasmi di Malaysia: Trend, Cabaran dan Peluang untuk Pembaharuan’ di sini hari ini.

Laporan itu dihasilkan dengan kerjasama antara Kementerian Ekonomi dan Kumpulan Bank Dunia menerusi program ‘Reimbursable Advisory Services’ yang mengkaji analisis skala dan trend pekerjaan tidak formal. Ia mendalami dengan terperinci kawal selia, dasar dan program yang mengawal pekerjaan tidak formal. 

Matsuda berkata usaha untuk menambah baik dasar perlu diwujudkan untuk melindungi dan meningkatkan tahap produktiviti pekerja tidak formal dengan lebih baik berikutan tahap kerentanan mereka yang tinggi kepada kejutan dan produktiviti ekonomi yang rendah.

“Banyak pekerja tidak formal amat mudah terjejas memandangkan ketidakmampuan mereka untuk terus melabur bagi meningkatkan kemahiran untuk mencapai kemajuan dalam kerjaya, atau mengambil risiko apabila memulakan perniagaan baharu.

“Malaysia boleh meningkatkan perlindungan pekerja tidak formal menerusi langkah seperti peningkatan akses kepada insurans mikro, dana simpanan persaraan swasta dan skim simpanan sukarela,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu menumpukan kepada dasar untuk menggalakkan penyertaan tenaga buruh yang lebih besar dalam kalangan wanita dan menambah baik latihan kemahiran untuk meningkatkan produktiviti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here