MELBOURNE, 6 Mac – Malaysia menjadi antara negara pertama kunjungan misi di bawah program baharu kerajaan Australia pada bulan depan dalam usaha melonjakkan perdagangan dengan Asia Tenggara.

Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia Don Farrell berkata misi yang menumpukan usaha memanfaatkan peluang perdagangan yang luas, khususnya dalam bidang peralihan tenaga bersih, akan turut melibatkan kunjungan ke Singapura.

“Kerajaan kami telah melabur lebih daripada A$19 juta (A$1=RM3.07) menerusi program pertukaran perniagaan Australia-Asia Tenggara.

“Misi ini bertujuan mendapatkan maklumat di lapangan, mengetengahkan (peluang) perniagaan pertanian, perlombongan, pendidikan, infrastruktur, teknologi dan pelancongan bertaraf dunia ke rantau ini dalam membina hubungan berkekalan dengan pelanggan, pembekal, pelabur serta rakan kongsi selain menyelami secara langsung kaedah untuk menjalankan perniagaan di Asia Tenggara,” katanya pada Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia 2024 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Forum Ketua Pegawai Eksekutif di hari kedua sidang kemuncak tiga hari berkenaan yang juga bersempena ulang tahun ke-50 dialog perkongsian Australia dengan Asean.

Menjelaskan selanjutnya, Farrell berkata Australia melihat Asean bukan setakat menawarkan peluang pertumbuhan besar bagi perniagaan Australia, tetapi juga sebagai pasaran kepelbagaian utama bagi pengeksport.

Selain saiz, pertumbuhan dan lokasi, Asia Tenggara turut menerima kira-kira 30 peratus daripada jumlah eksport Australia, katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Asean Dr Kao Kim-Hourn berkata rantau itu menyediakan peluang besar dengan saiz pasaran meliputi 671 juta orang, golongan kelas pertengahan yang kian berkembang dan sumber yang luas.

“Tumpuan seharusnya kepada usaha mewujudkan persekitaran yang boleh menarik pelaburan dan memanfaatkan pelbagai dasar dan instrumen,” katanya.

Pada masa sama, Asean juga dalam proses memperluas usaha kelestarian, terutama sektor ekonomi dengan membangunkan pendekatan serantau ke arah pelepasan karbon yang membuka jalan bagi masa depan rendah karbon.

Strategi bagi neutral karbon itu turut meletakkan Asean di landasan tepat untuk merebut potensi ekonomi hijau di rantau ini.

“Malah, strategi Asean mengenai neutral karbon itu merangkumi transformasi dalam beberapa bidang, termasuk penggunaan tenaga boleh baharu, pertanian lestari, pembangunan pasaran karbon, menarik modal hijau selain memastikan amalan terbaik dalam penyelidikan dan pembangunan berkaitan teknologi hijau,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here