KUALA LUMPUR, 8 Mac – Tumpuan perlu diberikan untuk meningkatkan penglibatan kaum wanita dalam tenaga kerja, khususnya dalam industri ekonomi digital negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. 

Beliau berkata walaupun peratusan tenaga kerja wanita di Malaysia berada pada kadar 55.1 peratus pada 2022, tetapi golongan itu hanya membentuk 35 peratus daripada industri ekonomi digital.

Teo yang ditemui pemberita selepas sambutan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Pejabat Timbalan Menteri Komunikasi dan My Creative Venture di sini, hari ini berkata antara usaha yang perlu terus ditekankan ialah menghapuskan stereotaip gender dalam pekerjaan.  

“… memang ada profesion secara tradisional lebih banyak wanita seperti guru dan jururawat tetapi inilah jurang gender yang kita hendak tutup kerana kita juga perlu mendidik generasi akan datang untuk menggalakkan wanita menjadi jurutera… lelaki jadi jururawat.

Saya percaya kalau kita boleh pecahkan stereotaip gender ini, kita boleh nampak penglibatan yang lebih seimbang dalam semua bidang. Apabila kita ada keterangkuman daripada semua jantina, kaum dan budaya, ini akan membantu kami (kerajaan) untuk membuat keputusan yang lebih kondusif dan lebih baik,” katanya.

Terdahulu dalam ucaptamanya pada majlis itu, Teo berkongsi perangkaan daripada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang kini dikenali sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NaDi) menunjukkan 76 peratus daripada usahawan yang dibimbing pusat itu antara 2021 hingga Februari lepas adalah wanita.

Sementara perangkaan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menunjukkan 57 peratus daripada usahawan wanita telah menyertai Program eUsahawan sejak pelaksanaannya pada 2015 sehingga 2023.

“Penyertaan aktif wanita dalam sektor digital boleh dilihat menerusi sektor makanan dan minuman (30 peratus), kecantikan & kesihatan (16 peratus) dan fesyen (10 peratus).

“Ini menunjukkan wanita kini aktif dalam menyumbang kepada ekonomi bermula daripada usahawan berskala kecil.  Jalannya  mungkin panjang tetapi sebagaimana setiap perjalanan, ia bermula dengan satu langkah,” katanya.

Justeru bersempena Hari Wanita Antarabangsa, Teo menggesa supaya keperluan untuk dimasukkan, cabaran stereotaip dan meninggalkan amalan mendiskriminasi, diteliti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here