KUALA LUMPUR, 9 Mac – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) harus meletakkan sasaran peningkatan pelaburan diluluskan sekurang-kurangnya 10 peratus lebih tinggi berbanding RM329.5 bilion pada tahun lepas, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

Beliau berkata terdapat hubung kait antara pelaburan diluluskan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) , justeru, ia perlu disejajarkan. 

“Pendapat saya kalau jangkaan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan bahawa KDNK kita akan berkembang antara empat hingga lima peratus untuk tahun ini, jadi, MIDA kenalah sasar sekurang-kurangnya 10 peratus.

“Memang saya tahu pelaburan ini juga bergantung kepada faktor-faktor luar tetapi kita mesti ada sasaran kerana pelaburan itu adalah satu komponen untuk KDNK, jadi kita kenalah sejajar dengan sasaran KDNK,” katanya kepada pemberita selepas Seminar mengenai Laluan Rel Pantai Timur-Projek Pemecut Ekonomi (ECRL–EAP) Peluang Perniagaan dan Pelaburan, di sini, hari ini. 

Tengku Zafrul berkata terdapat tiga tahap proses pelaburan diluluskan iaitu pelabur yang komited untuk membuat pelaburan, kemudian diluluskan oleh pihak agensi, dan selepas itu barulah pelaburan dilaksanakan. 

“Saya fikir kita perlu ada petunjuk prestasi utama (KPI) bagi pelaburan dilaksanakan dan juga pelaburan yang diluluskan. Jadi kita akan melakukannya,” katanya. 

Sementara itu, mengenai nasib pekerja yang terjejas akibat penutupan kilang Goodyear di Shah Alam, Tengku Zafrul berkata keutamaan kerajaan sekarang adalah untuk memastikan kebajikan para pekerja. 

“MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan agensinya MIDA, telah menggerakkan pasukan khusus melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Pusat Pemudahcara Invest Malaysia untuk memudahkan penempatan pekerjaan, serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula,” katanya. 

Beliau berkata Goodyear telah memberi jaminan akan memberi pampasan lebih tinggi daripada yang ditetapkan undang-undang.

“Syarikat itu juga sedang bekerjasama dengan Proton dan beberapa syarikat lain untuk menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai.

“Paling penting, semua usaha ini telah mula dilaksanakan sebelum pengumuman penutupan kilang dibuat untuk memastikan proses peralihan bagi para pekerja berjalan lancar,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here