KUALA LANGAT, 11 Mac – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mempunyai perancangan untuk membuat penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular setakat ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata sebarang tindakan atau keputusan mengenai ekosistem pendidikan sedia ada mesti  berdasarkan ketetapan yang terkandung di dalam Akta Pendidikan 1996.

“Kita mendengar pandangan berkenaan (mengenai sekolah vernakular) tetapi untuk hari ini, pendirian KPM adalah untuk berdiri tegak dan memperkukuhkan Akta Pendidikan.

“Sebagaimana yang saya tegaskan sebelum ini sekolah vernakular ini adalah diiktiraf oleh Akta Pendidikan dan kita akan teruskan dengan pendirian tersebut berdasarkan Akta Pendidikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Salleh baru-baru ini yang meminta kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang merangkumi lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Terdahulu Fadhlina meluangkan masa meninjau hari pertama sesi baharu persekolahan 2024/25 di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here