KUALA LUMPUR, 14 Mac – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah meluluskan sejumlah RM1.02 bilion pembiayaan Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) sehingga 31 Dis 2023.

Timbalan Menteri KPK Datuk Chan Foong Hin berkata anak syarikat milik penuh MTIB, Forest Plantation Development Sdn Bhd telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan PPLH melalui pembiayaan pinjaman mudah kepada syarikat swasta, koperasi dan agensi kerajaan yang berkelayakan.

Katanya sebanyak 108 perjanjian pinjaman PPLH meliputi 91 syarikat dan agensi kerajaan yang telah diluluskan pinjaman bagi membangunkan kawasan tanaman ladang hutan seluas 144,076.54 hektar. 

“Sehingga kini, sebanyak RM834.58 juta nilai pinjaman telah disalurkan berdasarkan kepada keluasan penanaman yang dilaksanakan. Pinjaman kepada syarikat disalurkan secara berperingkat berdasarkan tuntutan syarikat peminjam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai jumlah pembiayaan yang telah dikeluarkan, jumlah syarikat atau pengusaha yang terlibat, jenis tanaman yang diusahakan dan keluasannya di bawah Projek Forest Plantation.

Setakat 31 Dis 2023, sebanyak RM41.2 juta telah berjaya dikutip daripada 23 peminjam PPLH.

Sementara itu, Chan berkata melalui program PPLH, KPK menyediakan pinjaman mudah dengan kadar RM10,000 setiap hektar kepada syarikat untuk penanaman buluh. 

Namun, sehingga kini, beliau mengakui bahawa tiada permohonan pinjaman yang diterima untuk penanaman buluh di bawah PPLH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here