KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pengiktirafan daripada Milken Institute menggariskan keberkesanan dasar ekonomi Malaysia dan usaha bersepadu oleh semua pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, penggiat industri dan komuniti pelaburan, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menurut laporan Indeks Peluang Global (GOI) 2024 oleh institut berkenaan baru-baru ini, Malaysia diiktiraf sebagai negara yang mempunyai keadaan pelaburan terbaik secara keseluruhan dalam kalangan negara membangun dan sedang pesat membangun (E&D) Asia.

 MIDA dalam kenyataan hari ini berkata, Malaysia yang berada di kedudukan ke-27 di peringkat global secara keseluruhan, mengatasi pesaing serantau seperti Thailand dan China, menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan pembangunan ekonomi negara.

“Kedudukan berprestij itu adalah refleksi langsung daripada usaha berterusan kerajaan, yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dengan MIDA memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan melicinkan proses pelaburan di seluruh negara,” katanya.

Menurut MIDA, lawatan kerja strategik ke Jerman baru-baru ini khususnya, menandakan satu peristiwa penting dengan pelaburan prospektif berjumlah RM45.4 bilion, di samping misi yang sama ke Australia, yang membuahkan komitmen daripada syarikat Australia untuk melabur sebanyak RM24.5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata agensi penggalakan pelaburan itu komited untuk membina kejayaan ini dengan terus meningkatkan perkhidmatan dan sistem sokongannya untuk pelabur.

“Matlamat kami bukan sahaja untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di Asia, malah untuk meningkatkan kedudukan kita di pentas global.

“Kami komited untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi pelaburan utama dengan memastikan proses pelaburan yang lebih lancar dan cekap di seluruh negara,” katanya.

Selaras dengan pandangan yang dinyatakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, MIDA mengulangi komitmen untuk menangani kekangan utama yang dihadapi oleh pelabur dan mengoptimumkan iklim pelaburan di Malaysia.

Inisiatif pada masa akan datang akan menumpukan kepada pendigitalan, kemampanan dan inovasi, memastikan Malaysia kekal menarik kepada sektor penting untuk pertumbuhan ekonomi masa depan dan selari dengan dasar semasa, iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Rancangan Malaysia ke-12, kata MIDA.

“Pendekatan strategik MIDA termasuk meningkatkan perkongsian di peringkat tempatan dan antarabangsa untuk merangsang persekitaran pelaburan kolaboratif.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada strategi nasional yang lebih luas untuk memastikan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk ke Asia bagi pelabur yang memburu pertumbuhan, inovasi dan kemampanan,” katanya.

MIDA dengan kerjasama MITI serta kementerian dan agensi lain di peringkat persekutuan dan negeri, akan terus memacu agenda pelaburan Malaysia dan kemudahan menjalankan perniagaan, memanfaatkan lokasi strategik negara, kestabilan politik, infrastruktur yang teguh dan tenaga kerja yang dinamik, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here