KUALA LUMPUR, 18 Mac – Bank Negara Malaysia telah menetapkan syarikat insurans atau pengendali takaful untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan objektif terhadap semua tuntutan yang dikemukakan oleh pengguna kewangan. 

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata tuntutan itu juga perlu dilayani setelah mengambil kira faktor- faktor yang berkaitan, dan mewakili hak munasabah penuntut di bawah polisi insurans atau sijil takaful.

“Ini bagi memastikan layanan adil diberikan kepada pengguna kewangan serta memastikan syarikat insurans dan pengendali takaful memenuhi tanggungjawab dan tidak menyalahgunakan klausa pengecualian untuk menafikan tuntutan yang sah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi memastikan syarikat insurans bertanggungjawab atas polisi yang dikeluarkan dan tidak menggunakan pelbagai helah enggan bayar pampasan. 

Lim berkata sekiranya syarikat insurans atau pengendali takaful terpaksa menolak tuntutan insurans atau takaful secara menyeluruh atau sebahagian daripadanya, ia dikendaki memberikan penjelasan yang jelas kepada pengguna kewangan mengenai rasional keputusan tersebut termasuk terma polisi atau pengecualian yang dirujuk.

Katanya, klausa pengecualian ‘exclusion clause’ menetapkan keadaan tertentu yang tidak dilindungi oleh sesuatu polisi — bergantung kepada jenis polisi, antara pengecualian yang lazim adalah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, penggunaan kenderaan yang menyalahi undang-undang, mencederakan diri sendiri, penyakit sedia ada yang tidak diisytihar atau tuntutan palsu.

“Sekiranya sesuatu keadaan berada di bawah salah satu pengecualian ini, syarikat insurans atau pengendali takaful tidak diwajibkan untuk membayar tuntutan yang berkaitan dengan peristiwa atau keadaan tersebut.

“Bagaimanapun, perlindungan tambahan dengan premium tambahan boleh diperolehi bagi pengecualian tertentu seperti malapetaka atau penyakit sedia ada,” katanya. 

Beliau berkata sekiranya pemegang polisi atau peserta takaful tidak menerima perkhidmatan yang memuaskan, mereka boleh membuat aduan kepada saluran aduan yang disediakan oleh syarikat insurans atau kepada Bank Negara Malaysia melalui saluran elink.

“Tambahan pula, pengguna kewangan boleh merujuk kepada badan bebas ombudsman perkhidmatan kewangan (OFS) secara percuma untuk menangani pertikaian secara adil dan cepat sekiranya pengguna kewangan tidak berpuas hati dengan keputusan muktamad syarikat insurans atau pengendali takaful yang menolak tuntutan mereka berdasarkan klausa pengecualian,” katanya. 

Beliau berkata Bank Negara Malaysia juga akan memantau dari semasa ke semasa sekiranya terdapat syarikat insurans yang palsu atau produk-produk yang tidak memenuhi atau mengikut terma atau syarat yang telah dituntut semasa insurans itu dilakukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here