KUALA LUMPUR, 22 Mac – Bazar Cherita Kasih Kita Raya anjuran Pertubuhan Cahaya Hawwa (PERCAYA) ialah platform untuk memperkukuh ikatan sosial dan menjadi batu loncatan kepada peniaga meningkatkan hasil jualan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata bazar itu juga menjadi tempat untuk peniaga memasarkan jenama mereka ke satu peringkat lain.

“Dengan angka jualan yang telah mencecah RM1.2 juta dalam tempoh tujuh tahun, ia bukti pertumbuhan dan peningkatan jualan yang berterusan. 

“Selain menjadi tempat tumpuan berbelanja, bazar ini menjadi satu simbol perpaduan dalam komuniti perniagaan tempatan,” katanya pada majlis perasmian Bazar Cherita Kasih Kita Raya di sini hari ini.

Nancy berkata inisiatif bazar itu turut memberi peluang kepada peniaga menyumbang kepada tabung Sebalang Kasih iaitu satu usaha untuk mengumpul dana membeli kuih raya daripada ibu tunggal dan peniaga kecil, dan disumbangkan kepada kanak-kanak miskin bandar.

PERCAYA juga katanya, akan mengadakan program amal berbuka puasa khusus untuk wanita bersempena dengan Hari Wanita tahun ini yang bertemakan Count Her In: Invest in Women, Accelerate Progress, selain ia memberi penghargaan kepada peranan penting golongan itu dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi.

Menurut beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sangat menyokong inisiatif seperti yang dijalankan oleh PERCAYA, dengan Jabatan Pembangunan Wanita turut menjalankan kira-kira 950 Program Pembangunan Kapasiti dalam tempoh dua tahun lepas.

Antara Program Pembangunan Kapasiti berkenaan ialah program Advokasi Penjanaan Pendapatan, Ekonomi Digital dan Literasi Kewangan serta sosioekonomi untuk wanita rentan, katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERCAYA Raja Mariam Raja Hairudin berkata terdapat 17 reruai dibuka di bazar itu antaranya yang menjual biskut raya, baju kurung dan tudung serta selendang.

Katanya, Bazar Cherita Kasih Kita Raya berlangsung dua hari mulai hari ini dari 2 petang hingga 10 malam di Hotel Royale Chulan di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here