KUALA LUMPUR, 27 Mac – Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, antara lain akan membolehkan had maksimum kebolehinsuransan amaun gaji pekerja dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.

Pindaan melibatkan Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) itu dicadangkan bertujuan untuk menambah baik liputan keselamatan sosial yang akan meningkatkan faedah tertentu yang diterima pekarja.

RUU itu dibentangkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang memaklumkan bacaan kali kedua dijadualkan pada mesyuarat akan datang.

Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen hari ini, RUU itu juga bertujuan meminda Jadual Keempat kepada Akta 4 untuk memasukkan kadar caruman baharu dan gaji bulanan anggapan yang bersamaan bagi bulan itu apabila gaji seseorang pekerja melebihi RM5,000 dan RM6,000.

Selain itu, RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 turut dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini yang bertujuan menambah baik dan memberi manfaat meliputi keselamatan sosial di bawah Sistem Insurans Pekerjaan.

Menurut naskhah biru, ia bertujuan untuk meminda Seksyen 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 ( Akta 800) untuk menaikkan had maksimum kebolehinsuransan amaun gaji pekerja daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.

Selain itu, ia juga bertujuan meminda Jadual Kedua dan Jadual Ketiga kepada Akta 800 untuk memasukkan kadar caruman baharu yang dibayar majikan dan pekerja.

Sementara itu, Sim berkata kedua-dua RUU kementerian itu adalah selaras dengan pembentangan Bajet 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu meminda Siling Gaji Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada RM5,000 kepada RM6,000.

“Sebagai Menteri Sumber Manusia, saya melihat pindaan ini akan memberi manfaat kepada pekerja selain peningkatan kepada penambahbaikan perlindungan faedah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Mengikut data semasa Perkeso pekerja yang berskala gaji melebihi RM5,000 dianggarkan sebanyak 1.45 juta orang, manakala pekerja yang berskala gaji kurang daripada RM5,000 adalah 8.38 juta orang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here